Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kapten Iskandar kota impian belah angkasa dengan jet F-15, naik pangkat Mejar pada Julai

Jun 25, 2021 | 7:20 PM
Foto MINDEF
Foto MINDEF -

PERTAMA kali mengemudi jet pejuang F-15, jiwa Kapten (CPT) Muhammad Iskandar Dzulfadhli Abdul Rahman diselubungi rasa bangga atas penghormatan menjadi sebahagian pasukan yang mempertahankan ruang udara tanah air tercinta.

Kata juruterbang Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) itu:

"Bagi mengemudi pesawat canggih seperti F-15 dan terbang mengelilingi Singapura serta menyedari bahawa saya memainkan peranan dalam mempertahankan ruang udara negara ini adalah saat yang sangat membanggakan,"

Dengan peluang tersebut, beliau juga berjaya merealisasikan cita-cita yang dipendamnya sejak di bangku sekolah lagi.

CPT Iskandar yang menyertai RSAF sejak 14 tahun lalu merupakan antara 724 kakitangan dari Ibu Pejabat Kementerian Pertahanan (Mindef), RSAF dan Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) yang dinaikkan pangkat pada Jumaat (25 Jun).

Beliau akan dinaikkan pangkat kepada Mejar mulai bulan depan.

Kejayaan pegawai itu diraikan dalam satu majlis di Mindef dihadiri Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen dan Ketua Pasukan Pertahanan, Leftenan-Jeneral Melvyn Ong.

Sebagai sebahagian daripada langkah membendung penularan Covid-19, mereka yang menghadiri majlis tersebut telahpun menerima vaksinasi sepenuhnya dan menjalani ujian pra-acara.

Menyingkap perjalanan beliau dalam menjadi seorang juruterbang jet pejuang F-15, CPT Iskandar, 33 tahun, berkata semuanya bermula apabila beliau didedahkan kepada dunia penerbangan oleh bapanya yang bertugas sebagai jurutera pesawat bersama syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA).

Beliau kemudian menyertai program pemodelan aeroangkasa yang dikendalikan Kelab Penerbangan Belia Singapura (SYFC) sebelum menyertai program Lesen Juruterbang Privet (PPL).

"Di situlah saya mula mendapat pengalaman mengemudi pesawat kecil dan tenaga pengajar di sana - ramai diantara mereka bekas pegawai RSAF - menjadi inspirasi saya menceburi kerjaya bersama Angkatan Udara," kata pemegang ijazah sarjana dalam bidang Dasar Awam dari Universiti Oxford itu.

Sebagai juruterbang RSAF, CPT Iskandar juga mendapat pendedahan bagi mengembangkan potensinya termasuk sewaktu diberi tanggungjawab mengetuai latihan tentera udara berbilang negara, 'Cope Tiger' sebagai komander misi.

Latihan tersebut yang diadakan pada 2015 membabitkan 70 pesawat dari RSAF, Angkatan Udara Royal Thai dan Angkatan Udara Amerika Syarikat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg