Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kapten Muhammad penuhi impian sebagai juruterbang pesawat pejuang

May 13, 2018 | 5:30 AM
WALAU MUDA, PENUH BERBAKAT: Kapten Iskandar (dua dari kanan) berkelayakan sebagai Komander Misi Pengerahan Angkatan Besar (LFE) yang perlu memimpin pembentukan pesawat yang besar bagi misi pertempuran. - Foto MINDEF
WALAU MUDA, PENUH BERBAKAT: Kapten Iskandar (dua dari kanan) berkelayakan sebagai Komander Misi Pengerahan Angkatan Besar (LFE) yang perlu memimpin pembentukan pesawat yang besar bagi misi pertempuran. - Foto MINDEF -

SEMENTARA orang lain menggantung cita-cita mereka setinggi langit, Kapten Muhammad Iskandar Dzulfadhli Abdul Rahman sudahpun menggapai cita-citanya di sana sejak 2008 ketika beliau menyertai Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).

Bukan sahaja cita-citanya tinggi - secara literal, setinggi langit - pencapaiannya juga tidak kurang mengagumkan.

Memegang pada impiannya sejak kecil untuk menjadi juruterbang jet, Kapten Iskandar, 29 tahun, menyertai Kelab Penerbangan Belia Singapura (SYFC) ketika di bangku sekolah menengah dan mengendalikan penerbangan pertamanya pada usia 17 tahun.

"Di saat itu juga saya sedar apa yang saya mahu lakukan dan RSAF merupakan satu seruan bagi saya untuk mempertahankan Singapura," kata beliau menerusi wawancara e-mel bersama Berita Harian.

Sebagai sebahagian dari latihan juruterbang yang perlu dijalaninya di Sekolah Kadet Pegawai (OCS) (Angkatan Udara) pada 2008, Kapten Iskandar berkongsi bahawa beliau diajar tentang kepimpinan selain perlu menjalani latihan pertempuran serta peperiksaan teori tentang operasi dan doktrin angkatan udara.

Beliau muncul pegawai terbaik dalam kohortnya di OCS.

Setelah itu, beliau menyambung latihannya di Australia dan Canada pula.

Di Australia, beliau memulakan latihan penerbangannya dengan PC-21 dan sekali lagi muncul graduan terbaik bagi Kursus Sayap Asas (Basic Wings Course).

Di Canada pula, beliau mewakili Singapura sebagai sebahagian dari Latihan Penerbangan Nato (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) dengan menjadi juruterbang kepada CT-155 Hawk.

Sekali lagi, Kapten Iskandar muncul graduan terbaik kelasnya pada 2010 dan 2011, dan kemudian pulang ke tanah air untuk menerbangkan pesawat pejuang F-5.

Berkongsi pengalamannya sebagai juruterbang pesawat pejuang, anak ketiga dari empat beradik itu berkata:

"Setiap hari di RSAF mencabar dan sukar.

"Sebagai juruterbang, kami sentiasa dinilai, di udara dan di bawah... hampir setiap penerbangan dinilai, diteliti dan dibincangkan dengan perincian yang teliti.

"Tak kiralah berapa berpengalaman pun kita, prestasi yang tinggi dijangkakan daripada kita bagi setiap penerbangan," katanya.

"Jadi ia seperti menduduki peperiksaan setiap hari, peperiksaan di mana anda harus mendapatkan nilai 100 peratus kerana nyawa seseorang tergantung padanya," tambah beliau.

Pun begitu, Kapten Iskandar tidak pernah berputus asa atau menyerah kalah.

Malah, beliau menangani cabaran yang datang bertali arus dengan mengingatkan dirinya bahawa beliau telah diberi kepercayaan untuk melaksanakan tugasnya.

"Ia merupakan suatu keistimewaan untuk diberi amanah memegang jawatan yang penting dalam Angkatan Udara (Singapura), jadi saya cekalkan hati pada masa-masa sukar dan sentiasa mengingatkan diri saya bahawa saya boleh mengatasi cabaran tersebut," ujarnya.

Beliau menasihatkan anak muda yang bercita-cita menjadi juruterbang pesawat pejuang agar mempunyai komitmen penuh kerana kerjaya tersebut memerlukan "semangat dan keazaman yang kuat".

"Anda harus menjadi yang terbaik dari yang terbaik dalam segala aspek," tambahnya.

Yang jelas, kata-katanya itu bukan cakap angin.

Kapten Iskandar menerima Biasiswa Akademi Angkatan Tentera Singapura pada 2015 dan memburu Sarjana Muda (Kepujian) dalam Sains Politik dan Perhubungan Antarabangsa, serta Minor dalam Undang-undang dan Masyarakat dari Universiti British Columbia, Canada.

Beliau turut diberi Biasiswa Mahasiswa UBC Premier (Biasiswa Memorial John H. Mitchell) serta Biasiswa Wesbrook - menjadikannya warga Singapura pertama menerima kededua biasiswa tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg