Topik diikuti
Pergi ke BHkuKarya pengasas Madrasah Al-Ma’arif diterjemah sempena ulang tahun ke-90
Buku ‘Muhammad: Icon of Liberation’ terjemahan bahasa Inggeris ‘Muhammad: Pahlawan Merdeka’
Karya pengasas Madrasah Al-Ma’arif diterjemah sempena ulang tahun ke-90
Karya tulisan pengasas Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, As-Syeikh Muhammad Fadhlullah Suhaimi, kini diberi nafas baharu menerusi terjemahan kepada bahasa Inggeris.
Buku Muhammad: Icon of Liberation, yang merupakan terjemahan karya asal Muhammad: Pahlawan Merdeka, dilancarkan pada 19 September di majlis jamuan malam sempena sambutan ulang tahun ke-90 madrasah tersebut di Hotel Fairmont Singapore.
Diterjemahkan oleh Ustaz Ahmad Ubaidillah Md Khair dan Ustaz Muhamad Syafiq Mardi di bawah Gelam Press, karya itu antara lain bertujuan memperkenal pemikiran dan penulisan pengasas madrasah itu kepada orang ramai, khususnya generasi muda.
Turut hadir di majlis itu selaku tetamu terhormat ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad.
Berucap di majlis itu, Encik Zaqy berkata usaha ini bukan sekadar mengenang pencapaian madrasah tersebut sepanjang sembilan dekad lalu, bahkan satu peringatan penting tentang amanah yang perlu diwariskan kepada generasi seterusnya.
“Sambil kita meraikan apa yang telah dibina Madrasah Al-Ma’arif sepanjang 90 tahun, saya rasa ada satu soalan yang penting untuk kita fikirkan bersama.
“Apakah yang akan kita wariskan kepada generasi seterusnya?” ujar Encik Zaqy.
Beliau menjelaskan bahawa sejak diasaskan pada 1936 oleh As-Syeikh Muhammad Fadhlullah Suhaimi, madrasah itu berpegang teguh pada keyakinan bahawa anak-anak perempuan berhak mendapat peluang belajar dan menyumbang.
Visi tersebut bukan sekadar menyediakan pendidikan bagi menghadapi peperiksaan, malah memberi keyakinan dan ilmu pengetahuan agar mereka kukuh berpegang pada ajaran agama.
Menilai kejayaan modal insan yang dilahirkan, Encik Zaqy menekankan bahawa impak mendidik seseorang anak perempuan membawa manfaat yang amat luas kepada masyarakat.
“Apabila kita mendidik seseorang anak, impaknya tidak berhenti pada dirinya sahaja.
“Apa yang dipelajari, nilai yang dipegang dan keyakinan yang terbina akan memberi manfaat kepada keluarganya, masyarakat kita dan insya-Allah, generasi seterusnya,” ujar beliau.
Beliau turut berkongsi kejayaan beberapa mantan pelajar Madrasah Al-Ma’arif seperti Ustazah Dr Sukarti Asmoin, Ustazah Amalina Abdul Nasir, Dr Dinah Aziz, Cik Musfirah Albakri dan Cik Muslihah Albakri yang kini berbakti dalam pelbagai sektor seperti pendidikan, penyelidikan, teknologi dan perkhidmatan awam.
Di majlis jamuan malam itu, program Warisan Ma’arif turut diperkenal untuk meneruskan semangat memberi yang telah membantu mengekalkan kelangsungan madrasah itu merentas generasi, serta bertujuan memastikan pelajar pada masa hadapan dapat terus meraih manfaat daripada peluang yang disediakan oleh madrasah tersebut.
Mengulas mengenai inisiatif tersebut, Encik Zaqy berkata semangat gotong-royong adalah tunjang kekuatan Madrasah Al-Ma’arif.
Semangat ini turut melestarikan usaha Allahyarhamha Rithwana Abdullah, yang diiktiraf dengan Anugerah Pengiktirafan Warisan atas sumbangan dermawan beliau yang terus memberi manfaat kepada madrasah hingga kini.
“Hakikatnya, warisan bukan sekadar apa yang kita terima. Ia juga merupakan satu amanah, iaitu apa yang kita pilih untuk tinggalkan buat orang lain,” kata Encik Zaqy.
