Hasil karya seni berukuran 9.6 meter dan 7.2 meter terpampang megah di Stesen MRT Punggol Coast yang baru dibuka pada 10 Disember.
Lebih daripada sekadar karya visual – ia adalah refleksi perubahan pesat Singapura, memaparkan perkembangan Punggol daripada sebuah kampung nelayan kepada kawasan digital yang sibuk.
Karya ilham pelukis tempatan, Zul Othman, atau juga dikenali sebagai ZERO menghiasi ruang perhentian stesen itu, melambangkan masa lalu, masa kini, dan masa depan Punggol.
Bagi pelukis Zul, atau nama penuhnya, Zulkarnaen Othman, 45 tahun, hubungannya dengan Punggol bukan sekadar inspirasi seni – ia adalah perjalanan peribadi buat dirinya dan dekat di hati.
“Membesar di Hougang, saya teringat kenangan indah menunggang basikal ke Punggol bersama rakan-rakan, menjelajah kawasan itu, dan berenang... antara Punggol dengan Pulau Serangoon (Pulau Coney),” ujarnya kepada Berita Harian.
Perjalanan peribadi Zul dengan Punggol kini lengkap apabila beliau kini tinggal bersama keluarganya di Northshore Drive, dan ia semakin mempereratkan hubungannya dengan kawasan tersebut.
Karya seni Zul ialah garis masa artistik yang meneroka identiti Punggol melalui mercu tanda dan pengalaman utama.
“Saya ingin mewakili pelbagai tempoh masa Punggol seperti yang saya alami, dari masa lalu, kini, dan masa depannya sebagai kawasan digital,” jelasnya.
Karya itu menggabungkan unsur alam, sejarah, dan kemodenan yang mencerminkan perubahan kawasan tersebut.
Dari Punggol Marina dan Matilda House yang bersejarah hingga peta Punggol pada 1950-an, hasil rekaan Zul mengetengahkan tentang inti pati kejiranan yang pesat berubah itu.
Mewujudkan karya seni berskala besar seperti itu bukan tugas mudah.
Karya seni itu, dicetak pada pelapis logam, dihasilkan secara digital dan dipindahkan untuk pemasangan.
Menurut Zul, beliau menghadapi cabaran besar dalam memastikan warna yang tepat, kerana pencetakan dilakukan di luar negara.
“Bahagian yang paling mencabar adalah mendapatkan warna yang tepat untuk dicetak,” kongsi Zul yang juga menghadapi rintangan logistik, tetapi dedikasi pada rekaannya membuahkan hasil.
Karya seni tersebut kini berdiri megah di stesen tersebut.
Bermula dengan konsep awal pada 2019, Zul bekerja rapat dengan kurator, Syed Muhd Hafiz Syed Nasir, dan pasukan ‘Art in Transit’ daripada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) serta arkitek stesen dan kontraktor.
“Sepanjang menghasilkan projek ini, pasukan Art in Transit sentiasa memberi sokongan terhadap perkembangan projek ini,” kata Zul.
Beliau menganggap reka bentuk karya seni itu bukan sahaja pencapaian peribadi, malah mencerminkan komitmen Singapura untuk menyepadukan seni ke dalam ruang awam, mencipta rasa identiti dan kemasyarakatan bagi para pengguna pengangkutan awam.
Melihat karya seni beliau buat kali pertama di stesen tersebut, perasaannya bercampur antara lega, bangga, dan sedikit bimbang.
“Saya memulakan projek ini pada 2019, dan kini sudah 2024. Covid-19 memang menangguhkan tarikh akhir projek ini, jadi perasaan pertama saya apabila melihatnya adalah, ‘Akhirnya!’” akui Zul yang sudah lama bercita-cita menghasilkan karya seni untuk salah sebuah stesen MRT di sini.
Zul yang lebih terbiasa dan terkenal dengan karya seni jalanan dan grafiti yang bersifat sementara, mengatakan beliau teruja melihat hasilnya kini menjadi pameran yang kekal.
“Memiliki karya seni yang akan bertahan lebih lama daripada saya, sedikit menggugat,” katanya sambil tertawa.
“Bagi saya yang selalu melukis di jalanan dan ruang awam, saya mahu mewakili komuniti seni grafiti dan seni jalanan, dengan sebaik mungkin,” ujarnya.
Projek itu adalah bukti seni jalanan dan grafiti kian diterima sebagai sebahagian penting daripada landskap budaya Singapura.
Bakat Zul sering dipamerkan dan beliau juga sebahagian daripada kolektif RSCLS, yang mencipta karya seni yang memberi kesan, termasuk mural di Singtel Waterfront Theatre di Esplanade.
Beliau juga melukis mural Dekat di Mata, Jauh di Hati di Joo Chiat dan di Telok Blangah yang memaparkan pengasas Singapura, Sang Nila Utama.
Bagi Zul, karya seni di Stesen MRT Punggol Coast itu hanya permulaan. Beliau berharap untuk terus memberikan kesan yang berkekalan pada landskap bandar Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg