Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kasih sayang keluarga titipan asas kesempurnaan

Feb 21, 2021 | 5:30 AM
CABARAN TERSENDIRI: Pegawai eksekutif di Pusat Oasis Cik Sri Nur Aliffah berkata latar belakang setiap anak titipan berbeza dan masing-masing mengalami cabaran tersendiri.
CABARAN TERSENDIRI: Pegawai eksekutif di Pusat Oasis Cik Sri Nur Aliffah berkata latar belakang setiap anak titipan berbeza dan masing-masing mengalami cabaran tersendiri. -

KANAK-KANAK meraih manfaat apabila dijaga dalam keluarga titipan dengan penuh belaian kasih-sayang kerana mendapat permulaan lebih baik dalam hidupnya berbanding keadaan sebelum itu.

Antara lain, kanak-kanak itu berpeluang membesar dalam keadaan keluarga yang stabil dan mempunyai suri teladan yang baik. Ini penting agar mereka dapat membesar dengan sempurna kerana mereka merupakan tunggak pembangunan masyarakat kita pada masa depan, kata Cik Sri Nur Aliffah Rosman, pegawai eksekutif di pusat titipan Oasis kendalian Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).

Cik Aliffah, 29 tahun, telah ditugaskan untuk menyokong urusan keluarga titipan seperti Cik Nur Halimah Ali dan Muhammad Najib Mohyah, termasuk yang dalam proses menjadi ibu bapa titipan.

Justeru, beliau mengalu-alukan ibu bapa layak supaya tampil memohon menjadi ibu bapa titipan melalui Skim Keluarga Titipan yang dikendalikan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Skim itu bertujuan menyediakan penjagaan alternatif yang selamat bagi kanak-kanak yang berusia 18 tahun dan ke bawah, sebelum mereka disatukan semula dengan keluarga kandung.

Cik Sri Nur Aliffah yang telah berkhidmat di PPIS sejak 2017, berkata kebanyakan kanak-kanak sedemikian berada dalam jagaan titipan kerana mereka terbiar atau ibu bapa mereka tidak dapat menjaga anak-anak tersebut.

Ini termasuk kanak-kanak yang telah didera atau yang diabaikan.

"Menjaga anak-anak titipan kadangkala memerlukan strategi yang berlainan berbanding dengan menjaga anak kandung sendiri, kata Cik Sri Nur Aliffah.

"Latar belakang setiap anak titipan berbeza dan masing-masing mengalami cabaran tersendiri. Jika ibu bapa titipan mempunyai anak kandung sendiri, mereka perlu fleksibel dan mengasuh anak titipan dengan strategi berlainan daripada anak kandung mereka," ujar Cik Sri Nur Aliffah.

"Amatlah penting untuk ibu bapa memberikan komitmen terhadap anak titipan mereka, agar dapat lebih memahami kanak-kanak itu dengan lebih baik.

Ibu bapa titipan juga tidak perlu risau kerana mereka boleh mendapat sokongan daripada pusat titipan seperti PPIS Oasis, kata Cik Aliffah.

Antara lain, ibu bapa titipan boleh mendapat sokongan dari segi mental, emosi dan juga nasihat, kata beliau.

Pekerja sosial PPIS juga mengendalikan setiap kes dengan teliti dan memastikan hubungan antara ibu bapa dengan anak titipan terjalin dengan sebaik-baiknya.

Bagi tujuan tersebut, PPIS Oasis menganjurkan pelbagai bengkel dan acara yang melibatkan komuniti titipan.

Di samping itu, PPIS juga menyediakan 'respite care' atau khidmat jagaan sementara buat ibu bapa titipan yang memerlukan masa untuk urusan peribadi mereka.

Lukiskan potret keluarga anda!

Muat naik lukisan anda ke Facebook atau Instagram dan tag pusat Oasis. Dua lukisan paling kreatif akan dipilih untuk memenangi baucar bernilai $50! Pertandingan ini akan berakhir pada Selasa, 23 Februari 2021.

FAKTA PUSAT OASIS

Ditubuhkan pada 2017, PPIS Oasis merupakan Agensi Titipan (FA) ketiga yang dilantik Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF). PPIS Oasis berharap untuk mendekati lebih ramai keluarga Melayu/Islam di Singapura supaya tampil menjadi ibu bapa titipan melalui usaha meningkatkan kesedaran tentang Skim Keluarga Titipan. Pusat ini juga menyelaras perjalanan titipan kededua ibu bapa dan kanak-kanak titipan menerusi pengurusan kerja kes, selain khidmat terapeutik dan sokongan.

PROGRAM UTAMA

KHIDMAT SOKONGAN DAN TERAPEUTIK

Membimbing perjalanan dalam membangunkan hubungan baik dan sihat apabila sedang dalam jagaan dan merealisasikan potensi dan aspirasi mereka.

PENGURUSAN LATIHAN DAN KERJA KES

Latihan dan pengurusan kerja kes yang berkesan bagi ibu bapa titipan untuk mempertingkat keupayaan dan kemahiran sebagai ibu bapa titipan.

ALAMAT

PPIS Oasis

Blk 41, Chai Chee Street, #01-16, Singapura 461041

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg