Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Kata-kata mutiara PM Lee dalam Rapat Hari Kebangsaan

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kata-kata mutiara PM Lee dalam Rapat Hari Kebangsaan

Apr 19, 2024 | 06:57 PM



Wawasan kita ialah membentuk sebuah masyarakat Melayu yang berjaya, moden, berpandangan jauh, dan menguasai sains dan teknologi, tetapi pada masa yang sama mengekalkan adat resam dan cara hidupnya; Sebuah masyarakat yang memainkan peranan penuh dalam pembangunan negara dan memberi sumbangan kepada keharmonian serta keutuhan bangsa Singapura; Sebuah masyarakat yang menggunakan sepenuhnya pelbagai peluang yang tersedia di Singapura untuk lebih sejahtera. Dalam tahun-tahun mendatang, saya ingin melihat masyarakat Melayu kita bertambah maju. Saya akan berusaha meningkatkan kemajuan baik yang telah anda capai sejak merdeka. – 2004, Rapat Hari Kebangsaan pertama PM Lee


Seluruh masyarakat Melayu perlu berganding bahu. Pastikan agar anak-anak lelaki dan gadis kita terus bersekolah hingga mendapat sijil kelulusan. Ini akan memberi mereka masa depan yang lebih cerah. Pemerintah akan memberi sokongan penuh. Tetapi hanya dengan pelibatan peribadi dan campur tangan pemimpin masyarakat, barulah kita boleh mengubah keadaan, sebagaimana kita mengatasi masalah dadah. Kita harus melihat masalah ini di sebalik banyak kejayaan dan pencapaian masyarakat Melayu. Ia tidak harus melemahkan semangat kita. Saya yakin masyarakat Melayu boleh mengatasinya, seperti mana anda berjaya meningkatkan taraf pendidikan anak-anak Melayu dan mengurangkan masalah dadah. Kita boleh dan akan membantu golongan yang memerlukan di kalangan semua kaum, termasuk orang Melayu, untuk meningkat maju. Kita juga harus membuka peluang kepada yang berkebolehan dan bertenaga untuk maju lebih jauh. – 2005, ketika bercakap tentang usaha membantu golongan memerlukan meningkat maju


Singapura sedang memasuki fasa baru. Begitu juga dengan masyarakat Melayu. Kita melihat banyak peluang cerah yang sedang dibuka, dan warga muda Melayu bersedia untuk memberi sumbangan dalam banyak bidang yang diceburi. Kita mempunyai peluang yang baik untuk membawa negara kita ke tahap lebih tinggi lagi. Anda harus terus bekerjasama dengan pemerintah, para AP Melayu, Mendaki dan MUIS, untuk mengatasi cabaran masa kini, seperti kegawatan ekonomi dan kepincangan keluarga, serta berusaha untuk terus mempertingkat masyarakat. – 2009, tahun ke-50 sejak Singapura mencapai pemerintahan sendiri dan tahun Singapura dilanda kemelesetan ekonomi paling teruk dalam setengah abad


50 tahun kemudian, hasil kerja rapat rakyat Singapura dengan pemerintah, kita menjadi sebuah negara berbilang kaum yang harmoni, adil dan saksama serta makmur. Itulah sebabnya, tahun ini, kita boleh sama-sama meraikan SG50 dengan begitu meriahnya. Sejak kita Merdeka, masyarakat Melayu mencatatkan kemajuan yang sangat besar dan amat memberangsangkan. Hari ini, orang Melayu diwakili dalam setiap lapisan masyarakat. Kini, apabila rakan-rakan saya cuba mengenal pasti karyawan Melayu yang berjaya sebagai calon pilihan raya, kami ada banyak pilihan dari pelbagai sektor – peguam, pegawai bank, pendidik, jurutera dan pegawai SAF. 2015, tahun ke-50 kemerdekaan Singapura


Saudara saudari, tidak lama lagi, jika semuanya berjalan lancar, seorang lagi warga Melayu yang berwibawa, bakal menjadi Presiden baru kita. Saya harap beliau akan membawa penghormatan dan kecemerlangan kepada institusi Presiden, dan akan disayangi serta dikenang rakyat Singapura, sama seperti Encik Yusof Ishak. Inilah yang akan memperkukuhkan keharmonian kaum, rasa bangga dan cinta kita menjadi rakyat Singapura. – 2017, menjelang pilihan raya pertama yang diperuntuk bagi masyarakat Melayu


Namun sejauh manapun usaha Pemerintah, kesihatan sebenarnya terletak di tangan kita sendiri. Jika kita pantau gaya hidup dan pemakanan, kita boleh mengelakkan kencing manis atau paling tidak mengawalnya. Segeralah bertindak sebelum nasi menjadi bubur. Saya cadangkan dua perkara yang boleh dilakukan. Pertama, jaga makan dan minum anda. Saya tahu masakan Melayu memang sedap kerana kandungan lemaknya. Malangnya, lemaknya itu datang dari santan dan gula. Selain daripada menjaga makan dan minum, kita juga harus menjaga aktiviti harian dengan banyakkan bersenam. Doktor cadangkan kita lakukan aktiviti fizikal 150 minit seminggu atau kira-kira 20 minit sehari. Sebenarnya, tidak susah. Dengan melakukan aktiviti yang kita gemari, kita tidak terasa ia suatu beban. – 2017, ketika menyentuh tentang isu-isu yang melibatkan masa depan warga


M kuasa tiga akan bekerjasama, menyatukan sumber-sumber dan berkolaborasi bersama Pemerintah serta badan-badan Melayu/Islam yang lain. Dengan itu, mereka akan lebih mampu menangani cabaran masyarakat. Ini termasuk cabaran memastikan semua kanak-kanak mengikuti prasekolah, memperkasa dan membimbing belia, serta membantu golongan yang ketinggalan kerana dadah dan isu-isu sosial. Saya setuju dengan rancangan M kuasa tiga. Saya sokong mereka sepenuhnya. Kerjasama ini sangat baik seperti yang digambarkan peribahasa Melayu, seikat bak sirih, serumpun bak serai. Untuk berjaya, M kuasa tiga perlukan sokongan padu masyarakat. Saya harap lebih ramai orang Melayu akan menyumbang kepada masyarakat menerusi M kuasa tiga, tidak kiralah sama ada anda sukarelawan baru, ataupun sudah berkhidmat dengan masjid atau badan Melayu/Islam. Marilah kita sama-sama turun padang membantu golongan yang memerlukan demi memajukan masyarakat. 2018, ketika berkongsi tentang penubuhan M Kuasa Tiga (M³), satu rangka kerja melibatkan kerjasama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra)


Saudara saudari sekalian, anda harus berbangga dengan segala pencapaian anda. Sepanjang beberapa abad, anda membina sebuah masyarakat yang kukuh dan memperkaya sejarah kita. Masyarakat Melayu telah berkembang maju seiring kemajuan Singapura. Sekarang, sebagai orang Melayu, anda berpegang teguh kepada identiti anda tersendiri. Pada masa yang sama, bersatu-padu dengan masyarakat lain dan memiliki naluri serta jati diri sebagai anak watan Singapura. Usaha memperingati dwiabad ini adalah peluang untuk kita semua mengiktiraf sumbangan orang Melayu kepada Singapura dan meraikan pencapaian anda. Saya yakin masyarakat Melayu akan bertambah maju, tahun demi tahun. Pemerintah akan terus bersama anda, mendukung aspirasi anda menjadi Masyarakat Gemilang. – 2019, tahun memperingati 200 Tahun Singapura


Kita menikmati keharmonian kaum dan agama sejak merdeka. Kita bertolak ansur, saling menghormati dan menyediakan ruang bagi semua masyarakat untuk hidup aman damai. Namun, keseimbangan ini sangat rapuh. Lantas, ia perlu dijaga dengan begitu teliti seperti kita menatang minyak yang penuh. Pada masa yang sama, kita patut membuat penyesuaian sejajar dengan nilai-nilai yang berubah dari generasi ke generasi dan aspirasi pelbagai kumpulan yang semakin meningkat. – 2021, sebelum membuat pengumuman rasmi tentang pemakaian tudung dalam sektor penjagaan kesihatan awam




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >