Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kata sinis tidak patah semangat bapa tunggal besarkan si kecil

Eksekutif pembersihan berharap lebih banyak majikan fahami keperluan golongan bapa tunggal
Jun 22, 2021 | 5:30 AM
DEMI ANAK: Meskipun terpaksa mengimbangi masa dengan baik untuk bekerja dan juga memenuhi keperluan sekolah dan penjagaan anaknya, Encik Ruddy berkata yang penting masa depan anaknya, Sayif Raees, tiga tahun, terjamin. - Foto BH oleh JASON QUAH
DEMI ANAK: Meskipun terpaksa mengimbangi masa dengan baik untuk bekerja dan juga memenuhi keperluan sekolah dan penjagaan anaknya, Encik Ruddy berkata yang penting masa depan anaknya, Sayif Raees, tiga tahun, terjamin. - Foto BH oleh JASON QUAH -

Kita baru sahaja menyambut Hari Bapa Ahad lalu. Bapa Melayu hri ini lebih terlibat aktif dalam kehidupan anak-anak mereka,dan tidak lagi melihat peranan mereka sebagai ketua keluarga yang hanya perlu menyara hidup keluarga. Menyusuli laporan istimewa Hari Bapa di Berita Minggu (BM) kelmarin, kami menyusul dengan laporan mengena dua lagi bapa istimewa. Ikuti kisah mereka.

ADA yang pernah melontarkan komen bahawa beliau tidak layak menjaga anaknya sendiri.

Namun, Encik Muhd Ruddy Abdul Razak memutuskan untuk tidak mengendahkan kata-kata sinis seperti itu dan menumpukan terhadap keperluan anaknya, Sayif Raees, tiga tahun.

Selepas berpisah dengan isterinya sekitar dua tahun lalu, Encik Muhd Ruddy, 38 tahun, memikul tanggungjawab sebagai kededua ibu dan bapa kepada anaknya.

Biasanya, beliau dan anaknya akan memulakan hari mereka pada jam 6 pagi, dan Encik Ruddy akan menghantar anaknya ke pusat jagaan kanak-kanak sebelum pergi bertugas, ada kala meluangkan lebih 12 jam di tempat kerja.

Meskipun tanggungjawab sebagai seorang bapa tunggal amat berat, Encik Ruddy akui gembira dapat melihat anaknya besar di depan mata.

Bekas isterinya tidak lagi berhubungan dengan beliau dan anaknya selepas perpisahan itu, menurut Encik Ruddy.

"Anak kecil ini memang memerlukan perhatian kita, dan saya cuba sedaya upaya untuk memenuhi keperluannya kerana dialah keluarga saya sekarang," ujarnya.

Encik Ruddy yang dijaga keluarga angkat sebelum ini berkata kededua ibu bapa angkatnya telah meninggal dunia dan kini beliau tinggal bersama makciknya yang menghidap strok dan perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Ketiga-tiga mereka kini menetap di flat sewa satu bilik dan Encik Ruddy terpaksa mengambil pembantu rumah kerana tiada orang yang menjaga makciknya apabila beliau di tempat kerja.

Meskipun kehilangan pekerjaannya sebagai penyelia pembersihan dua kali tahun ini- pada Januari dan Mei- ia tidak melemahkan semangat Encik Ruddy untuk terus berusaha melakukan yang terbaik.

Beliau berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai eksekutif pembersihan di Kopitiam dengan bantuan persatuan Palang Merah Singapura (SRC).

Menurut Encik Ruddy, baucar pasaraya bulanan dari SRC turut membantu perbelanjaan beliau sekeluarga semasa tempoh beliau tidak bekerja.

Katanya: "Sebagai seorang bapa yang menjaga anak kecil, ada masa saya terpaksa mengambil cuti untuk menjaga anak atau 'childcare leave', dan ada masa tidak dapat hadir untuk tugas tertentu.

"Ada majikan yang faham tapi ada juga yang tanya kepada saya, mengapa isteri atau mak awak tak boleh bantu jaga anak."

Beliau berharap lebih banyak majikan yang faham bahawa golongan bapa, terutama sekali bapa tunggal, perlu felksibiliti bagi memenuhi keperluan anak mereka dan bukan hanya golongan ibu.

Meskipun anaknya kurang merasakan kasih sayang seorang ibu semasa kecil, beliau berharap dapat melakukan yang terbaik untuk memenuhi semua keperluan anaknya itu, dari segi emosi dan mental.

"Harapan saya hanyalah supaya anak saya mempunyai masa depan yang lebih baik, itu yang saya mahu.

"Saya akan berusaha untuk berjimat untuk pendidikannya dan juga masa depannya," kata Encik Ruddy.

"Anak kecil ini memang memerlukan perhatian kita, dan saya cuba sedaya upaya untuk memenuhi keperluannya kerana dialah keluarga saya sekarang. Sebagai seorang bapa yang menjaga anak kecil, ada masa saya terpaksa mengambil cuti untuk menjaga anak atau 'childcare leave', dan ada masa tidak dapat hadir untuk tugas tertentu. Ada majikan yang faham tapi ada juga yang tanya kepada saya, mengapa isteri atau mak awak tak boleh bantu jaga anak." - Encik Muhd Ruddy Abdul Razak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg