Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kaum majoriti perlu lebih peka kepada minoriti: Lawrence

Jun 26, 2021 | 5:30 AM
Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.
Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong. -

MASYARAKAT berbilang kaum di Singapura perlu akur dengan hakikat bahawa lebih sukar menjadi minoriti daripada majoriti, kata Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, yang menggesa majoriti untuk lebih peka terhadap keperluan minoriti.

Pada masa yang sama, kumpulan minoriti juga perlu memahami keperluan majoriti dan tidak mudah menganggap masyarakat Cina semua sama, terutama dalam hak 'keistimewaan Cina'.

Beliau berkata demikian semasa berucap di forum Institut Pengajian Dasar (IPS) dan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) semalam yang bertajuk Kaum dan Perkauman, setelah beberapa kejadian berbaur perkauman tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam ucapannya, Encik Wong berkata keharmonian kaum di negara ini tidak sempurna, dan usaha berterusan diperlukan untuk membaikinya.

Pertama, Encik Wong berkata Singapura perlu memahami apa yang dilalui masyarakat minoriti, sama ada dari segi diskriminasi semasa mencari kerja atau menyewa rumah, atau perasaan tersisih apabila orang di sekeliling bertutur dalam bahasa lain, atau stereotaip yang dihadapi, kata Encik Wong.

"Perkara ini memang berlaku, tidak selalu, dan mungkin juga tidak begitu kerap. Tetapi kadangkala apabila ia berlaku, ia benar-benar mengguris hati, dan tidak boleh diketepikan sebagai cakap lepas atau gurauan semata-mata.

"Saya percaya masyarakat majoriti di Singapura memahami perkara ini. Oleh itu, saya meminta kita lakukan lebih daripada ini dan mengambil langkah yang lebih untuk memastikan kawan, jiran dan rakan sekerja minoriti kita rasa selesa," kata Encik Wong.

Beliau akur isu kaum memang sukar di mana-mana, khususnya dalam masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya di Singapura. Malah, Singapura berpisah dengan Malaysia kerana mahukan semua kaum dilayani secara adil. Tetapi ini tidak bermakna identiti kaum masing-masing dipadam, bahkan kepelbagaian itu diraikan.

Beliau juga mengulas konsep 'keistimewaan Cina' yang kadangkala ditimbulkan untuk menggambarkan kelebihan yang dimiliki masyarakat majoriti.

"Mungkin juga ada sikap berat sebelah dan kekurangan yang perlu disedari dan diperbetul masyarakat Cina, tetapi fahami juga ada generasi warga Singapura Cina yang lebih selesa dalam bahasa Cina berbanding Inggeris, dan menganggap mereka kerugian dalam dunia bahasa Inggeris. Mereka rasa sudah banyak yang mereka telah lepaskan untuk membangun masyarakat berbilang kaum: sekolah bahasa Cina, Universiti Nanyang, dialek dan sebagainya," kata Encik Wong.

Justeru, beliau berkata Singapura perlu meneruskan pendekatan bertolak ansur, kepercayaan dan berkompromi.

"Tetapi kita tidak harus mendesak hak maksimum bagi pelbagai kumpulan, dan menganggap semua kompromi sebagai ketidakadilan yang perlu dikutuk, atau menafsir yang terburuk bagi setiap kejadian yang menyinggung atau tidak sensitif. Kerana apabila satu kumpulan secara agresif menegaskan identiti dan haknya berbanding yang lain, tidak lama setelah itu kumpulan yang lain juga akan memberi reaksi," kata Encik Wong.

Oleh itu, beliau meminta kumpulan yang mendesak perubahan untuk melakukannya secara berhati-hati dengan meluaskan dan tidak menyempitkan ruang persetujuan, serta memperdalam persefahaman silang budaya.

Pemerintah juga akan terus mengemas kini dasar sejajar dengan perubahan masyarakat, kata Encik Wong.

"Pemerintah tidak akan goyah dalam komitmennya untuk memupuk keharmonian antara semua kaum dan memastikan warga Singapura menikmati peluang penuh dan adil dalam kehidupan," ujarnya.

Dalam forum itu, Encik Wong juga telah menjawab pelbagai soalan daripada peserta yang menyertai secara maya, termasuk pendiriannya mengenai perdana menteri bukan Cina, cara mengatasi pendidik yang menunjukkan sikap perkauman, dan fungsi rangka kerja kategori kaum Cina, Melayu, India dan yang lain (CMIO).

"Perkara ini memang berlaku, tidak selalu, dan mungkin juga tidak begitu kerap. Tetapi kadangkala apabila ia berlaku, ia benar-benar mengguris hati, dan tidak boleh diketepikan sebagai cakap lepas atau gurauan semata-mata. Saya percaya masyarakat majoriti di Singapura memahami perkara ini. Oleh itu, saya meminta kita lakukan lebih daripada ini dan mengambil langkah yang lebih untuk memastikan kawan, jiran dan rakan sekerja minoriti kita rasa selesa." - Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.

Laporan lanjut :

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg