Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kawal selia audit S'pura diperketat selepas pindaan dilulus

Oct 4, 2022 | 5:30 AM
459a2620-fae6-4a6d-932e-1225a8dfe415
-

PENGUASA Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra) kini dibenarkan untuk menjalankan pemeriksaan ke atas semua entiti perakaunan dan mengarahkan mereka untuk memperbaiki kesilapan yang ditemui semasa pemeriksaan kawalan mutu, termasuk mengenakan sekatan apabila perlu.

Ini selepas Rang Undang-Undang (Pindaan) Akauntan diluluskan di Parlimen semalam. Secara keseluruhan, empat set pindaan dibuat kepada Akta Akauntan.

Pindaan itu bertujuan meningkatkan rejim kawal selia audit Singapura dan memperkenalkan langkah untuk pematuhan yang lebih baik kepada standard dan keperluan profesional untuk kedua-dua akauntan awam dan entiti perakaunan, kata Menteri Kedua Kewangan merangkap Pembangunan Negara, Cik Indranee Rajah, dalam bacaan kedua rang tersebu.

"Pindaan ini juga akan menyelaraskan amalan kawal selia Singapura dengan yang berada dalam bidang kuasa lain dengan rejim kawal selia audit yang mantap," tambahnya.

Kementerian Kewangan (MOF) dan Acra telah mendapatkan pandangan orang ramai berkenaan pindaan yang diusulkan itu tahun lalu dan telah mempertimbangkan maklum balas yang relevan dan boleh dilaksanakan.

Cik Indranee berkata, dengan pindaan yang diluluskan itu, pemeriksaan kawalan mutu ke atas entiti perakaunan kini satu keperluan undang-undang di bawah Akta Akauntan.

Sebelum ini, pemeriksaan kawalan mutu tidak dirasmikan di bawah Akta Akauntan dan ini bermakna apabila kesilapan kawalan mutu ditemui, Acra tidak dapat mewajibkan pemulihan atau mengambil tindakan terhadap entiti perakaunan itu.

Dengan pindaan itu juga, Acra diberi kuasa untuk menjalankan pemeriksaan ke atas pematuhan kepada keperluan antipengubahan wang terlarang dan menentang pembiayaan pengganasan oleh entiti perakaunan dan akauntan awam.

Acra juga boleh mengenakan sekatan ke atas akauntan awam dan entiti perakaunan jika mereka gagal mematuhi keperluan itu.

Pindaan seterusnya pula bertujuan memperhalusi rangka kerja penilaian bagi pemeriksaan pendampingan Acra ke atas akauntan awam dan melanjutkan rangka kerja penilaian itu kepada pemeriksaan kawalan mutu ke atas entiti perakaunan.

Ia menggantikan sistem gred lulus atau gagal semasa dengan rejim berperingkat baru dengan kategori memuaskan, memuaskan tetapi dengan penemuan, separa memuaskan dan tidak memuaskan.

"Hasil yang memuaskan, sama ada dengan atau tanpa penemuan, memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada akauntan awam dan entiti perakaunan yang mencapai keputusan pemeriksaan yang baik. Kategori ini tidak akan dikenakan sekatan atau tindakan pembetulan.

"Untuk hasil yang separa memuaskan dan tidak memuaskan, Acra akan mengenakan tindakan pemulihan khusus dan sekatan ke atas akauntan awam dan entiti perakaunan untuk penemuan yang dikenal pasti. Penemuan itu akan menunjukkan bidang penambahbaikan yang perlu diusahakan oleh akauntan awam dan entiti perakaunan sebagai persediaan untuk penilaian seterusnya," kata Cik Indranee.

"Hasil yang memuaskan, sama ada dengan atau tanpa penemuan, memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada akauntan awam dan entiti perakaunan yang mencapai keputusan pemeriksaan yang baik. Kategori ini tidak akan dikenakan sekatan atau tindakan pembetulan." - Menteri Kedua Kewangan merangkap Pembangunan Negara, Cik Indranee Rajah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg