Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kawalan pergerakan serata dunia dijangka berlarutan lagi 18 bulan

Jan 22, 2021 | 5:30 AM
SEKTOR PENERBANGAN DIBUKA SEMULA BERTAHAP-TAHAP: Seorang kakitangan lapangan terbang di Sri Lanka lengkap memakai pakaian perlindungan sedang pemerintah dijadualkan membuka semula lapangan terbang negara itu kepada pelancong semalam. - Foto REUTERS
SEKTOR PENERBANGAN DIBUKA SEMULA BERTAHAP-TAHAP: Seorang kakitangan lapangan terbang di Sri Lanka lengkap memakai pakaian perlindungan sedang pemerintah dijadualkan membuka semula lapangan terbang negara itu kepada pelancong semalam. - Foto REUTERS -

ORANG ramai boleh menjangkakan keadaan dunia yang rata-ratanya sama dengan sekarang, kira-kira setahun hingga setahun setengah dari sekarang.

Tidak menjangkakan banyak perubahan selain sesetengah langkah yang mungkin dilonggarkan, Menteri Pendidikan Lawrence Wong berkata dunia akan masih dibelenggu pandemik Covid-19.

"Walaupun majoriti orang di Singapura divaksinasi, adalah mustahil bagi seluruh dunia divaksinasi tahun ini.

"Ini bermakna virus ini mungkin akan masih menular di negara lain hujung tahun ini atau awal tahun depan pun," ujar Encik Wong yang mempengerusikan pasukan bertindak berbilang kementerian bersama Menteri Kesihatan Gan Kim Yong bagi menangani penularan Covid-19.

Menggariskan tiga rangka masa semasa membayangkan kehidupan dengan Covid-19 selepas ini, beliau berkata pandemik itu pastinya akan berakhir pada suatu masa.

"Saya tidak tahu berapa lama masa yang akan diambil (bagi pandemik ini berakhir) tapi bukan dalam tempoh setahun, mungkin dalam empat lima tahun.

"Dalam tempoh empat tahun, saya rasa ekonomi dan norma sosial kita akan pulih secara perlahan," katanya.

Tambahnya, ini akan memakan masa kerana dunia masih terjejas dek kesan Covid-19 dari segi ekonomi, sosial dan psikologi, dengan pemulihan yang dijangka bukan berbentuk V tetapi secara perlahan.

Encik Wong turut menarik perhatian dunia pasca-Covid-19 yang sukar untuk dibayangkan sekarang.

Norma sosial tertentu serta cara orang ramai bekerja mungkin akan berubah.

"Sukar untuk dikatakan sekarang tetapi saya agak pasti akan ada beberapa perubahan dalam dunia baru pasca-Covid-19 ini.

"Kita harus bersiap sedia baginya... untuk terus menakat dan cemerlang dalam dunia baru ini," ujar Encik Wong.

Encik Gan juga berharap antara perubahan positif yang dilihat akibat pandemik ini, termasuk dari segi kebersihan peribadi dan awam, akan berterusan selepas pandemik ini.

"Sebelum kita meraikan akhirnya pandemik Covid-19 sudah berakhir nanti, kita harus sentiasa berwaspada pandemik seterusnya boleh berlaku dalam jarak masa yang dekat.

"Oleh itu, kita harus sentiasa bersedia... dan tabiat baik yang telah dipupuk ini harus terus diamalkan supaya ia boleh membentuk sebahagian perlindungan bagi kita," ujarnya.

Menyifatkan usaha ini ibarat usaha memerangi pengganasan, Encik Gan berkata orang ramai misalnya melalui pelbagai pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang dan ia sudah menjadi satu kebiasaan kini berbanding 20 tahun lalu.

Pada masa akan datang, Encik Gan berkata sesetengah langkah berjaga-jaga yang diambil sekarang mungkin menjadi satu kebiasaan juga.

"Sebelum kita meraikan akhirnya pandemik Covid-19 sudah berakhir nanti, kita harus sentiasa berwaspada pandemik seterusnya boleh berlaku dalam jarak masa yang dekat. Oleh itu, kita harus sentiasa bersedia... dan tabiat baik yang telah dipupuk ini harus terus diamalkan supaya ia boleh membentuk sebahagian perlindungan bagi kita." - Encik Gan Kim Yong, Menteri Kesihatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg