Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kawalan sempadan dimansuh akan rangsang pelancongan, niaga di S'pura : Pakar

Feb 11, 2023 | 5:30 AM
BAKAL SEMAKIN RANCAK: Lebih ramai pengunjung antarabangsa dijangka datang ke Singapura setelah sekatan kawalan sempadan dimansuhkan berikutan pengumuman Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi Covid-19 pada 9 Februari 2023. - Foto fail
BAKAL SEMAKIN RANCAK: Lebih ramai pengunjung antarabangsa dijangka datang ke Singapura setelah sekatan kawalan sempadan dimansuhkan berikutan pengumuman Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi Covid-19 pada 9 Februari 2023. - Foto fail -

PEMANSUHAN kawalan sempadan akan membantu memulihkan kedudukan Singapura sebagai destinasi pelancongan dan perniagaan terkemuka, kata pemerhati dan pakar yang dihubungi Berita Harian.

Mereka berkata, tanpa sekatan protokol kesihatan dan kawalan sempadan, lebih bebas bagi negara ini bergerak ke hadapan sepenuhnya dan meneruskan aktiviti yang dapat membantu merancakkan ekonomi.

"Penarikan semula kawalan sempadan pasti akan meningkatkan bilangan ketibaan antarabangsa.

"Pelancong akan tahu bahawa mereka boleh datang ke Singapura tanpa perlu risau tentang kerumitan menyediakan bukti vaksinasi atau ujian prapelepasan, dan mereka mungkin memilih untuk datang ke Singapura berbanding destinasi lain disebabkan perkara ini," kata Penolong Profesor Kluster Perniagaan, Komunikasi dan Reka Bentuk di Institut Teknologi Singapura (SIT), Dr Aaron Ng Yi Kai.

Ini mungkin merupakan berita baik bagi sektor-sektor yang lebih bergantung kepada pelancong seperti perhotelan, makanan dan minuman (F&B) serta tarikan, kata beliau, yang turut menjangkakan permintaan pekerjaan meningkat dalam sektor-sektor tersebut untuk menangani peningkatan kedatangan pelancong.

Dr Ng menambah bahawa penarikan semula kawalan sempadan merupakan "langkah terakhir dalam mengembalikan Singapura kepada destinasi bebas dan terbuka yang mengalu-alukan pendatang antarabangsa".

"Tanpa sebarang sekatan Covid-19 terhadap pelancong dari mana-mana negara, Singapura kini destinasi ideal bagi acara dan mesyuarat antarabangsa, terutama apabila kita mengambil kira keterhubungan udara yang kuat," ujar beliau.

Menyentuh hal serupa, Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Farid Khan, berpendapat industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (Mice) akan menggunakan peluang ini untuk meneruskan semula pameran perdagangan dan menarik syarikat antarabangsa untuk turut serta di negara ini.

"Secara keseluruhan, Singapura terletak di lokasi yang strategik dan merupakan salah satu bandar yang paling terhubung di dunia.

"Ini memudahkan perniagaan untuk berkembang dan meluaskan jangkauan mereka ke Asia dan seterusnya.

"Menarik balik kawalan sempadan akan memudahkan transaksi perniagaan, peluang perniagaan, pelaburan dan ia akan membawa kepada kestabilan kewangan dan ekonomi yang lebih kukuh," ujar beliau.

Pada masa yang sama, perniagaan yang mahu melangkah ke tahap antarabangsa boleh meneruskan rancangan peningkatan skala mereka.

"Menjalankan mesyuarat secara bersemuka sentiasa ada faedah dan nilai uniknya tersendiri.

"(Penarikan kawalan sempadan) akan membolehkan perdagangan antarabangsa berlaku dengan lebih mudah.

"Pelonggaran kawalan sempadan telah menyebabkan kos perjalanan perniagaan lebih rendah berbanding ketika tempoh hanya perjalanan perniagaan penting diperkenalkan," tambah Encik Farid.

Sementara itu, masalah kekurangan tenaga kerja yang melanda beberapa sektor mungkin berkurangan dalam beberapa bulan akan datang dengan lebih ramai pekerja asing dapat memasuki Singapura dengan lebih mudah, ulasnya.

Penganalisis sektor penerbangan firma runding cara penerbangan, Endau Analytics, Encik Shukor Yusof, pula menjangkakan kesibukan akan meningkat di Lapangan Terbang Changi.

"Lebih ramai pengunjung asing yang sudah divaksinasi mahupun yang belum divaksinasi akan dapat masuk tanpa susah payah, dan ini akan merancakkan sektor penerbangan dan hospitaliti.

"Perniagaan runcit dan F&B juga akan meraih manfaat.

"(Lapangan Terbang) Changi akan mempunyai lebih banyak penerbangan dan penumpang, justeru akan menjana lebih banyak pendapatan," kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg