Topik diikuti
Pergi ke BHkuKawasan operasi baharu RSAF di Latihan Wallaby pacu kecekapan latihan
Kawasan operasi baharu RSAF di Latihan Wallaby pacu kecekapan latihan
Sebuah kemudahan baharu seluas 5,400 meter persegi di kawasan Lapangan Terbang Rockhampton membolehkan Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) menyelaraskan operasi helikopternya dengan lebih baik semasa Latihan Wallaby (XWB) 2026.
Dikenali sebagai Warriors Den, kawasan operasi itu digunakan oleh RSAF buat julung kalinya pada tahun ini (2026).
Pembinaannya bermula pada Mac 2026 dan selesai antara hujung Ogos dengan awal September.
Kemudahan itu mempunyai kawasan operasi berpermukaan konkrit bagi kerja-kerja penyelenggaraan berat, serta 16 tempat letak helikopter yang dilengkapi titik tambatan bagi memastikan pesawat kekal terikat dengan selamat.
Semasa ditemui media ketika lawatan ke kawasan operasi itu pada 21 Oktober, Pengarah Udara bagi Rangka Ketiga XWB 2026, Leftenan Kolonel (LTC) Ng Kehang, berkata kemudahan itu membolehkan aset helikopter, kru udara dan kakitangan logistik ditempatkan di satu lokasi, sekali gus meningkatkan penyelarasan bagi latihan, operasi dan penyelenggaraan.
Sebelum ini, helikopter diletakkan di permukaan tanah yang tidak disediakan khas di Warriors Camp, yang juga terletak di Lapangan Terbang Rockhampton, dan alas perlu dibentangkan terlebih dahulu.
Warriors Camp telah digunakan oleh RSAF sejak 2015.
“Kawasan operasi berpermukaan konkrit ini juga memudahkan kakitangan logistik menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan berat, sekali gus mempercepatkan proses mengembalikan pesawat kepada keadaan operasi sekiranya terdapat kerosakan yang perlu dibaiki.
“Kami juga dapat menempatkan 30 kontena, ruang pejabat, kawasan rehat kru, tempat penyimpanan peralatan serta alat ganti dan kelengkapan logistik di satu lokasi,” ujar beliau.
Mengulas lanjut tentang kemudahan tempat letak helikopter yang disediakan, LTC Ng berkata petak konkrit dan titik tambatan yang kukuh membolehkan helikopter diikat dengan lebih selamat ketika berdepan kelajuan angin yang lebih tinggi di Australia.
“Ini menambah baik aturan tempat letak helikopter kami dan meningkatkan ketahanannya terhadap keadaan cuaca, kerana helikopter kini boleh diikat dengan kukuh untuk menghadapi kelajuan angin yang lebih tinggi.
“Sebelum ini, kami mungkin perlu memindahkan helikopter apabila kelajuan angin di Australia meningkat.
“Pengurusan keselamatan di darat juga amat penting memandangkan pelbagai aset dan anggota ditempatkan bersama di kawasan yang sama,” ujar beliau.
Kawasan operasi baharu itu juga membolehkan beberapa jenis helikopter ditempatkan bersama, termasuk enam helikopter CH-47 Chinook dan empat helikopter Apache AH-64D.
Laluan khusus bagi kenderaan serta titik lintasan turut disediakan di kawasan pergerakan pesawat bagi memastikan pergerakan anggota dan kenderaan berlangsung dengan selamat ketika beberapa jenis helikopter beroperasi secara serentak.
LTC Ng berkata RSAF bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Australia untuk mendapatkan lokasi tersebut, dengan kedua-dua pihak mempertimbangkan bagaimana kemudahan itu dapat memenuhi keperluan latihan angkatan udara itu.