Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kazakhstan, S’pura meterai kerjasama dalam enam bidang

May 23, 2024 | 5:13 PM
Presiden Kazakhstan, Encik Kassym-Jomart Tokayev, menerima sambutan penuh istiadat di Istana pada 23 Mei diiringi Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Presiden Kazakhstan, Encik Kassym-Jomart Tokayev, menerima sambutan penuh istiadat di Istana pada 23 Mei diiringi Presiden Tharman Shanmugaratnam. - Foto ST

Kazakhstan dan Singapura bersetuju untuk bekerjasama dalam enam bidang – integrasi ekonomi, keselamatan, piawaian perusahaan, perlindungan hak harta intelek (IP), pendidikan tinggi dan penyelesaian pertikaian undang-undang.

Memorandum Persefahaman (MOU) perjanjian itu ditandatangani pegawai yang mewakili kedua-dua negara pada 23 Mei, sebagai sebahagian daripada lawatan negara dua hari Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev, ke Singapura.

Ini adalah kali pertama Presiden Tokayev mengadakan lawatan rasmi ke sini, sebagai ketua negara.

Beliau biasa dengan Singapura kerana pernah berkhidmat sebagai diplomat pada 1970-an dan melawat Republik ini sebagai menteri luar pada 2004 dan pengerusi senat pada 2016.

Kazakhstan, dengan penduduk sekitar 20 juta, rakan perdagangan terbesar Singapura di Asia Tengah.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) berkata perjanjian kerjasama ekonomi yang ditandatangani itu meneroka bidang kerjasama baru dan membangunkan hubungan lebih erat.

“Kerjasama ini menandakan kesinambungan hubungan ekonomi yang terjalin lama antara negara kita dan melengkapkan seni bina perdagangan sedia ada, seperti Perjanjian Pelaburan Dua Hala serta Perjanjian Perkhidmatan dan Pelaburan,” tambah MTI.

Perjanjian Perkhidmatan dan Pelaburan telah ditandatangani pada Mei 2023 dan berada di bawah rangka kerja Perjanjian Perdagangan Bebas Kesatuan Ekonomi Eurasia-Singapura.

Perjanjian Pelaburan Dua Hala pula, yang ditandatangani pada 21 November 2018, baru-baru ini berkuat kuasa selepas ratifikasi oleh kedua-dua pihak.

MOU yang ditandatangani pada 23 Mei berlatarbelakangkan pengukuhan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.

Perdagangan dua hala dalam barangan meningkat 46.3 peratus tahun ke tahun kepada $603.1 juta pada 2023.

Sementara perdagangan dua hala perkhidmatan meningkat 172.9 peratus tahun ke tahun kepada $67.4 juta pada 2022.

Pelaburan langsung Singapura di Kazakhstan berjumlah $960 juta pada 2022, manakala pelaburan langsung Kazakhstan di Singapura melebihi $1.3 bilion.

Awal dari itu, pada pagi 23 Mei, Presiden Tokayev telah diberi sambutan penuh istiadat di Istana, di mana susunan urusan mesyuarat pertama adalah pertemuan dengan Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Encik Tokayev kemudian bertemu Perdana Menteri Lawrence Wong, sebelum menyaksikan enam MOU ditandatangani.

Encik Wong kemudian menjadi hos satu majlis makan tengah hari bersama Presiden Tokayev.

Selepas majlis makan tengahari, Presiden Tokayev telah ke Hotel Shangri-La di mana beliau disertai Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dalam menyampaikan taklimat Forum Perniagaan Kazakhstan-Singapura.

Beberapa perjanjian perniagaan telah ditandatangani di forum tersebut.

Sehingga Disember 2023, terdapat 180 syarikat Kazakhstan berdaftar di Singapura, dan kira-kira 30 syarikat Singapura berdaftar di sana.

Perjanjian kerjasama keselamatan antara kedua-dua negara bertujuan untuk mencegah dan memerangi jenayah transnasional.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata di bawah perjanjian ini, kedua-dua negara akan meneroka kerjasama dan pertukaran pengetahuan dan kepakaran bersama dalam mencegah, memintas, mengesan dan memerangi jenayah rentas negara dan aktiviti jenayah seperti dadah narkotik dan bahan psikotropik, jenayah siber, penipuan serta pemulihan aset.

Perjanjian kerjasama berkenaan piawaian nasional untuk perusahaan, akan meliputi bidang kepentingan bersama termasuk makanan, logistik dan kemampanan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg