KESEMUA lapan murid Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah yang dijangkiti Covid-19 kini berada di hospital tetapi tidak dalam keadaan serius, kata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), sehari selepas kelompok jangkitan dikaitkan dengan madrasah itu diumumkan.

Mereka semua merupakan rakan sekelas darjah empat yang sama.

Madrasah itu diberitahu tentang dua kes pertama pada 3 September lalu - dua hari selepas kali terakhir mereka berada di sekolah.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Muis berkata tiada kes Covid-19 baru dilaporkan sehingga 3.30 petang semalam.

"Madrasah akan berhubung dengan Kementerian Kesihatan (MOH) sekiranya terdapat sebarang kes baru.

"Kesemua murid yang terjejas kini berada di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) dan syukur, tidak seorang pun daripada mereka berada dalam keadaan serius," kata Muis.

Madrasah Irsyad dengan segera telah mengaturkan bagi kerja-kerja penyahjangkitan dan pembersihan premis sekolah dijalankan sejurus selepas kes pertama timbul pada 3 September lalu.

Semua murid darjah empat telah diberikan Cuti Ketidakhadiran (LOA), dan semua murid darjah satu hingga darjah lima akan menjalani Pembelajaran di Rumah (HBL) apabila penggal dibuka semula sehingga 17 September nanti.

Namun, murid darjah enam yang sedang membuat persiapan menduduki peperiksaan tamat sekolah rendah (PSLE) dibenarkan kembali ke sekolah pada minggu depan.

Muis menambah bahawa oleh sebab kelompok jangkitan itu melibatkan Madrasah Irsyad saja, madrasah lain akan terus beroperasi seperti biasa apabila penggal baru bermula Isnin depan.

"Walau apa pun, madrasah-madrasah akan terus mematuhi langkah pengurusan selamat dengan ketat demi keselamatan semua.

"Di samping itu, madrasah telah mempertingkat persiapan HBL dan telah menjalankan HBL sekurang-kurangnya sekali dalam setiap penggal demi memastikan kedua-dua guru dan murid bersedia menyesuaikan diri apabila keadaan memerlukan.

"Ini termasuk sokongan bagi murid yang mungkin tidak mempunyai persekitaran rumah yang sesuai bagi HBL," kata Muis.