RAMAI orang kini mula mengambil lebih langkah pencegahan bagi melindungi diri disebab rasa 'takut', dan 'ketakutan' itu baik, terutamanya sedang varian koronavirus yang bermutasi, menjejas kanak-kanak, kata doktor yang dihubungi Berita Harian.
Dengan adanya varian virus baru B1617, varian mutan dari India yang dua kali ganda lebih mudah berjangkit, keadaan Singapura sekarang mungkin lebih berbahaya daripada sebelum ini, ujar mereka.
Namun, bagi mengatasi virus varian baru ini, mereka menggesa orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga tambahan selain daripada yang biasa dilakukan bagi melindungi diri.
Ini termasuk mengambil suntikan vaksin Covid-19, membuat gelembung sosial sendiri dan mengelak pergi ke tempat sesak.
Doktor keluarga dan pemilik Banyan Clinic, Dr Elly Sabrina Ismail, berkata adalah penting ibu bapa memainkan peranan mereka bagi mengurangkan penularan Covid-19.
"Sekiranya anak mereka kurang sihat, mereka harus pastikan anak mereka berada di rumah dan terus pantau keadaan mereka dan jangan hantar mereka ke sekolah.
"Saya faham bahawa sesetengah ibu bapa mungkin berasa bimbang anak mereka ketinggalan dalam pelajaran, tetapi jika anak itu sakit dan virus itu tersebar ke orang lain, ia tidak akan membawa kebaikan kepada sesiapa," ujar beliau.
Dr Elly berkata bagi virus yang sering bermutasi, kadangkala agak sukar mengesan virus itu kerana ada orang yang dijangkiti asimptomatik, iaitu tidak menunjukkan sebebarang tanda.
Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Raffles, Dr Abdul Razakjr Omar, berkata virus bermutasi boleh menjangkiti orang ramai, terutama kanak-kanak, dengan lebih mudah.
Beliau menyeru orang dewasa memainkan peranan mereka melindungi golongan mudah dijangkiti, termasuk dengan suntikan vaksin.
"Orang dewasa perlu tampil mendapatkan vaksin supaya kita dapat mencapai imuniti kelompok (kerentanan sesuatu kelompok kerana kebanyakan orang dalam kelompok itu rentan kepada penyebaran sesuatu jangkitan).
"Meskipun agak mencabar untuk mencapainya sekarang kerana virus itu sudah bermutasi berbilangan kali, adalah lebih baik mendapatkan vaksinasi agar mendapat pelindungan," kata Dr Abdul Razakjr.
Beliau juga berkata orang ramai juga boleh meningkatkan pencegahan dengan cara lain.
"Tidak banyak berubah dari segi langkah berjaga-jaga kerana menggunakan pelitup, menjaga jarak sosial dan menjaga kebersihan diri akan membantu mengelakkan diri daripada dijangkiti virus itu.
"Tetapi sekiranya boleh, kurangkan kegiatan sosial. Duduk di rumah dan luangkan masa bersama keluarga dalam gelembung kecil anda," ujarnya.
"Sekiranya anak mereka kurang sihat, mereka harus pastikan anak mereka berada di rumah dan terus pantau keadaan mereka dan jangan hantar mereka ke sekolah. Saya faham bahawa sesetengah ibu bapa mungkin berasa bimbang anak mereka ketinggalan dalam pelajaran, tetapi jika anak itu sakit dan virus itu tersebar ke orang lain, ia tidak akan membawa kebaikan kepada sesiapa." - Dr Elly Sabrina Ismail, pemilik Banyan Clinic.
"Orang dewasa perlu tampil mendapatkan vaksin supaya kita dapat mencapai imuniti kelompok. Meskipun agak mencabar untuk mencapainya sekarang kerana virus itu sudah bermutasi berbilangan kali, adalah lebih baik mendapatkan vaksinasi agar mendapat pelindungan." - Dr Abdul Razakjr Omar, Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Raffles.
Infografik: PELITUP JENIS APA YANG HARUS KITA GUNAKAN?
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg