Keadaan orang ramai yang beratur panjang di kebanyakan pusat mengundi bertambah baik, kata Jabatan Pilihan Raya (ELD).
Namun, pengundi masih digalak menggunakan tempoh sepanjang hari sehingga 8 malam yang diperuntuk untuk membuang undi pada 1 September.
ELD berkongsi perkembangan ini dalam satu kenyataan pada 9.55 pagi, sekitar sejam selepas ia mengeluarkan kenyataan pertama, yang menggalak pengundi pergi ke pusat mengundi pada masa lebih lanjut kerana orang ramai sedang beratur panjang di beberapa pusat mengundi.
Seorang pengundi yang enggan namanya dinyatakan memberitahu Berita Harian (BH) beliau melihat kegenjotan teknikal berlaku di pusat mengundi di Ghim Moh, di awal proses pendaftaran.
Menurut beliau, yang tiba di pusat mengundi sekitar 8.20 pagi, pegawai di pusat itu dilihat perlu mengimbas kod elektronik di alat bimbit sebelum mengimbas kad pengundi dan seterusnya mengimbas kad yang dimiliki Pegawai Pusat Mengundi (PO) dan proses ini terganggu apabila beberapa alat bimbit tidak berfungsi seperti yang dijangka.
Dua daripada empat alat bimbit yang menyerupai iPad itu dilihat tidak berfungsi pada ketika itu, menyebabkan barisan beratur menjadi lebih panjang.
Maklum balas serupa turut diulangi beberapa warga yang berkongsi pengalaman mereka dengan BH. Seorang daripada mereka, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Mohammad, berkata:
“Kad pengenalan elektronik saya tidak dapat diimbas pada kali pertama pegawai cuba mendaftarkan saya,” kata seorang pengundi yang tidak membawa kad pengenalan
“Nasib baik beliau dapat mendaftarkan saya selepas mencuba beberapa kali. Jika tidak, saya rasa akan membatalkan hasrat untuk mengundi.”
Dalam kenyataan terkini, ELD berkata:
“Isu teknikal berhubung sistem pendaftaran elektronik sedang dihuraikan secara bertahap.
“Keadaan orang beratur panjang telah diperbaiki di kebanyakan pusat mengundi.”
Ini adalah kali pertama rakyat dibenarkan menggunakan versi elektronik kad pengenalan dad Kad Mengundi yang boleh diakses melalui aplikasi SingPass.
Orang ramai dilihat beratur panjang di beberapa pusat mengundi di serata pulau sebelum ia dibuka pada 8 pagi.
Warga emas dan orang berkeperluan khas, seperti pengguna kerusi roda dilihat diasingkan dan dibenar mengikuti barisan lebih pendek untuk menunggu giliran membuang undi.
Singapura mengundi untuk memilih Presiden kesembilan.
Tiga calon bertanding, iaitu mantan ketua pelaburan GIC, Encik Ng Kok Song, mantan menteri kanan, Encik Tharman Shanmugaratnam dan mantan ketua NTUC Income, Encik Tan Kin Lian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg