SEORANG lelaki dibawa ke hospital setelah satu kebakaran berlaku di sebuah kedai makan India-Muslim di Bukit Batok pada Khamis pagi.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata ia dimaklumkan mengenai kebakaran tersebut di Blok 632 Bukit Batok Central, alamat Mufiz Food Corner, pada kira-kira 8.45 pagi.
Seorang lelaki yang mengalami kelecuran dan kemerahan di mukanya dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH).
Tiga orang telah dipindahkan daripada kedai makan itu, yang menjual roti perata dan makanan laut Thai-Muslim, sebelum SCDF tiba.
SCDF berkata kebakaran itu, yang melibatkan barangan di dapur, telah dipadamkan oleh pegawainya menggunakan hos dan dua beg galas busa udara termampat.
Pemilik kedai makan itu yang berusia 50 tahun dan hanya ingin dikenali sebagai Encik Syed, memberitahu akhbar Cina Shin Min Daily News bahawa kebakaran itu berpunca daripada dapur gas.
"Salah satu pekerja saya mengalami kelecuran apabila beliau cuba mematikan dapur tersebut," katanya.
"Saya akan perlu menutup gerai saya selama lima hari (untuk kerja pembaikan) dan perniagaan saya akan terjejas teruk.
"Pusing ganti sehari kira-kira $3,000."
Cawangan media tempatan 8world melaporkan bahawa lebih 20 pelanggan telah keluar daripada kedai makan itu dan cawangan McDonald's bersebelahan.
Seorang wanita berusia 44 tahun, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Huang, berkata beliau sedang bersarapan di McDonald's apabila terhidu bau asap dan menyedari bahawa kedai makan bersebelahan terbakar.
Beliau menambah bahawa dua pekerja di kedai makan itu cuba memadamkan api menggunakan alat pemadam api.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg