DARIPADA 31 kes jangkitan Covid-19 baru yang dilaporkan Isnin (21 Sep), seramai 30 pesakit tidak menghidap simptom (asimptomatik) dan telah dikesan menerusi pengawasan dan pemantauan proaktif, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada lewat tengah malam.
MOH juga melaporkan sembilan kes jangkitan import; lapan dari India yang melibatkan seorang Penduduk Tetap, empat Pemegang Permit, seorang pemegang pas tanggungan dan dua pemegang Pas Pelajar yang tiba di Singapura pada 9 September, dan seorang pemegang pas tanggungan yang tiba di Singapura dari Iran pada 15 September lalu.
Baki 22 kes yang lain melibatkan pekerja asing yang menetap di dormitori di mana 16 antara mereka telah dikesan sebagai kontak kes yang dilaporkan sebelum ini.
Kementerian itu juga telah menutup kes kelompok jangkitan di Kian Teck Hostel, 30 Kian Teck Avenue kerana tiada jangkitan baru yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan tempat itu setelah tempoh inkubasi Covid-19 selama 28 hari.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg