SERAMAI empat daripada 120 pemandu bas yang dijangkiti Covid-19, sehingga tengah hari Ahad lalu, belum divaksin.
Baki yang lain telah divaksin sepenuhnya, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA). Kebanyakan mereka tidak menunjukan simptom atau menunjukkan simptom ringan.
Secara keseluruhan pula, 99 peratus pekerja pengangkutan awam barisan depan telah menerima dos pertama vaksin, dengan lebih 95 peratus divaksin sepenuhnya.
LTA berkongsi maklumat itu baru-baru ini, berlatar bilangan jangkitan dan kelompok Covid-19 yang bertambah di pusat tukaran bas.
Kelompok terbaru di pusat tukaran bas Tampines kini mempunyai sekurang-kurangnya 11 kes secara keseluruhan, selepas empat kes baru ditambah kelmarin.
Kesemua kes baru ini adalah kakitangan di sana.
Ini bermakna pusat itu adalah pusat tukaran bas kelapan dikenal pasti sebagi kelompok Covid-19.
Bilangan kelompok di pusat pertukaran bas bertambah selepas dua kelompok pertama - di Bishan dan Sengkang - diumumkan pada 14 Ogos.
Mengulas mengenai 120 pemandu bas yang dijangkiti Covid-19, jurucakap LTA, menjawab pertanyaan The Straits Times, berkata kebanyakan kes itu dikesan secara awal dan berjaya diasingkan menyusuli ujian pengawasan dalam masyarakat dan ujian proaktif yang dilakukan secara tetap.
Beliau berkata: "Sebaik sahaja kelompok di pusat pengangkutan awam dikesan, kerja pembersihan dan membasmi kuman dilakukan di tempat itu dan di kesemua bas terjejas dan kemudahan yang dikongsi.
Ini selain usaha pembersihan yang dipertingkat yang dilakukan pengendali sejak tahun lalu."
Langkah pengurusan selamat juga dilaksanakan secara ketat, dengan pekerja makan dan menghisap rokok secara berasingan, meskipun mereka telah divaksin sepenuhnhya, kata jurucakap itu.
Kelmarin, jumlah kes Covid-19 baru dalam masyarakat yang dilaporkan, iaitu 147, adalah angka jangkitan tempatan tertinggi sejak 22 Julai lalu.
Daripada jumlah itu, 53 dikaitkan dengan kes yang dilaporkan sebelum ini dan sudah pun berada dalam kuarantin.
Lagi 42 kes yang dikaitkan dengan kes terdahulu tidak berada dalam kuarantin apabila mereka diuji positif bagi koronavirus.
Baki 52 kes tiada kaitan dengan kes yang dilaporkan sebelum ini.
Terdapat juga lapan kes diimport - tiga daripadanya dikesan setibanya di Singapura, manakala lima mengalami penyakit itu semasa menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau berada dalam pengasingan.
Secara keseluruhannya, terdapat 155 kes Covid-19 baru di Singapura kelmarin, menjadikan angka kes keseluruhan di negara ini berjumlah 67,459.
Seramai 441 pesakit telah dimasukkan ke hospital.
Terdapat 19 pesakit yang memerlukan sokongan oksigen dan lima pesakit berada dalam keadaan kritikal dalam unit jagaan rapi (ICU).
Dalam kalangan mereka yang sakit teruk, 15 daripadanya merupakan warga emas berusia 60 tahun ke atas, dengan sembilan daripada mereka belum divaksin atau telah menerima satu dos vaksin Covid-19.
Jumlah kes baru dalam masyarakat telah meningkat daripada 240 kes pada minggu sebelumnya kepada 723 kes pada minggu yang lalu.
Jumlah kes yang tiada kaitan dengan kes yang dilaporkan sebelum ini juga meningkat daripada 91 kepada 173 kes dalam tempoh yang sama.
Sekitar 80 peratus penduduk Singapura telah menerima dua dos vaksin Covid-19, dan 83 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg