Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebun masyarakat bantu penduduk susah, galak kemampanan

Sayur-sayuran dihasilkan dua kebun masyarakat Pasir Ris East guna kaedah hidroponik
May 21, 2023 | 5:30 AM
AGIH HABUAN: Encik Chan Chun Sing (berbaju merah) dan Encik Shahrael Taha menyertai seorang pelajar Sekolah Rendah Casuarina memberi beg habuan kepada seorang benefisiari Pasir Ris Care Store, Cik Sarah Ismail, pada Sabtu. - Foto ZAOBAO
AGIH HABUAN: Encik Chan Chun Sing (berbaju merah) dan Encik Shahrael Taha menyertai seorang pelajar Sekolah Rendah Casuarina memberi beg habuan kepada seorang benefisiari Pasir Ris Care Store, Cik Sarah Ismail, pada Sabtu. - Foto ZAOBAO -

DUA kebun masyarakat di divisyen Pasir Ris East akan menawarkan sayur-sayuran yang ditanam menggunakan kaedah hidroponik menjelang hujung 2023.

Satu daripadanya, dekat Blok 104 Pasir Ris Street 12, telah mula menanam sayur secara hidroponik sejak April, manakala satu lagi dijangka menawarkan kaedah tersebut dalam beberapa bulan akan datang.

Inisiatif itu, dinamakan Community Urban Farming - The Green Way, dilancarkan pada April dan adalah usaha untuk menyumbang kepada kemampanan makanan Singapura.

Sayur-sayuran dari kebun itu, serta yang disumbang oleh sekolah dan peniaga di Pasir Ris East, telah dibungkus bersama barangan keperluan lain untuk diberi kepada penduduk berpendapatan lebih rendah di kawasan itu.

Penerima pek habuan itu adalah benefisiari Pasir Ris Care Store - sebuah usaha yang melibatkan seluruh masyarakat, daripada pelajar kepada sekolah, penduduk dan peniaga di divisyen tersebut.

Dalam satu kenyataan, pejabat kawasan undi Pasir Ris East berkata sayur yang ditanam dan dituai dalam bandarnya akan memberi manfaat kepada 208 benefisiari dalam masyarakat setiap bulan.

"Melangkah ke hadapan, lebih banyak Rangkaian Penduduk (RN) di Pasir Ris East akan mempunyai pertanian hidroponik di kebun masyarakat mereka," katanya.

Menurut jurucakapnya, terdapat tiga kebun masyarakat di divisyen Pasir Ris East.

Sekolah Rendah Elias Park dan Sekolah Menengah Pasir Ris Crest turut menyumbang sayur yang ditanam secara hidroponik kepada usaha Pasir Ris Care Store.

Semalam, Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, dibawa melihat tanaman hidroponik di kebun masyarakat itu sebelum menyertai relawan membungkus dan mengagih pek habuan kepada penerima di Blok 476A Pasir Ris Drive 6.

Barangan di Pasir Ris Care Store, seperti minyak, gula, sabun dan ubat gigi, disumbang oleh penduduk, pertubuhan dan sekolah dalam daerah itu.

Relawan daripada setiap golongan usia dan latar belakang kemudian berkumpul dan membantu membungkus barangan itu mengikut senarai yang ditetapkan oleh benefisiari mengikut keperluan mereka.

"Ini bagi memenuhi keperluan benefisiari dengan lebih baik, kerana setiap keluarga mempunyai keperluan berbeza, dan mengurangkan pembaziran sumber," kata kenyataan itu.

Pek habuan yang setiap satu mengandungi barangan bernilai $20 itu dihantar ke rumah penerima pada Sabtu ketiga setiap bulan.

Bercakap kepada media pada akhir pengagihan pada Sabtu, Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Shahrael Taha, berkata program itu diurus, dikendali dan disokong dalam masyarakat.

"Bagi usaha hari ini, kita melihat kebun masyarakat bekerjasama dengan rakan kongi masyarakat menghasilkan sayur dan ia diagih kepada benefisiari dalam Care Store.

"Jadi apa yang kita ingin dicapai ialah masyarakat mampan di mana kita membantu satu sama lain ," katanya.

Salah seorang penerima pek habuan itu ialah Cik Sarah Ismail, 60 tahun yang tinggal di flat sewa satu bilik bersama ibunya berusia 84 tahun yang uzur dan cucunya berusia lapan tahun.

"Ini kali pertama saya menerima sayur dalam beg habuan ini. Ia satu langkah baik kerana saya pun sering memasak sayur.

"Setiap kali selepas relawan menghantar beg ini, mereka akan beri senarai barangan yang saya perlu untuk bulan seterusnya. Saya amat menghargai bantuan ini.

"Sekurang-kurangnya saya dapat mengurangkan perbelanjaan bulanan saya," katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg