Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebun SmartFarm guna air dari udara

Apr 14, 2021 | 5:30 AM
KEBUN BIJAK: Para penyelidik dari Universiti Nasional Singapura (NUS) telah mencipta alat prototaip dikenali sebagai SmartFarm. Ia merupakan sejenis sistem berkebun lengkap yang menggunakan hidrogel sebagai teknologi utamanya. - Foto NUS
KEBUN BIJAK: Para penyelidik dari Universiti Nasional Singapura (NUS) telah mencipta alat prototaip dikenali sebagai SmartFarm. Ia merupakan sejenis sistem berkebun lengkap yang menggunakan hidrogel sebagai teknologi utamanya. - Foto NUS -

BAYANGKAN anda dapat menanam tumbuh-tumbuhan sendiri dengan menggunakan kelembapan daripada udara berbanding air paip.

Para pengkaji daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) telah menghasilkan satu alat prototaip dikenali sebagai SmartFarm.

Ia merupakan sejenis sistem berkebun lengkap yang menggunakan hidrogel sebagai teknologi utamanya.

Kebun SmartFarm itu yang menggunakan kuasa suria dan berautomasi kelihatan seperti sebuah tank ikan yang besar.

Pada malam hari, bahagian atasnya terbuka membolehkan hidrogel menyerap kelembapan yang terdapat di udara.

Selepas matahari naik, bahagian atas ditutup untuk menyekat wap air memaksanya untuk memeluwapkan (condense) pada permukaannya.

Permukaannya kemudian dilap dan dipindahkan ke tanah untuk mengairi tumbuh-tumbuhan.

Sejauh ini, kumpulan NUS telah berjaya menanam sayur kangkung dalam prototaip SmartFarm.

Para pengkaji berkata teknologi itu bertujuan untuk memanfaatkan sumber air bersih yang tidak digunakan iaitu kelembapan udara yang boleh menangani masalah terbesar dunia seperti kekurangan air dan makanan.

"Kelembapan pada udara merupakan sumber air bersih yang besar tetapi ia kekal tidak diterokai," kata ketua projek SmartFarm, Penolong Profesor Tan Swee Ching dari Jabatan Bahan Sains dan Kejuruteraan NUS.

Beliau menambah paras kelembapan Singapura yang selalunya lebih 80 peratus amat sesuai secara unik bagi kegunaan teknologi hidrogel.

Profesor Tan, yang menghabiskan masa yang lama bekerja dan belajar pada cuaca sederhana, pada awalnya memulakan kerja dengan menggunakan hidrogel untuk menyelesaikan masalah yang berbeza, iaitu kehangatan Singapura yang tidak menyelesakan.

"Kebanyakan kehangatan yang kita alami ekoran kelembapan di Singapura.

"Cuaca amat lembap sehinggakan peluh tidak boleh menyejat daripada kulit, yang juga merupakan cara kita menjadi lebih dingin," katanya.

Satu kilogram gel baru berharga sekitar $20 untuk menghasilkannya tetapi para pengkaji menjangkakan kos itu akan merosot apabila permintaan meningkat.

Kumpulan NUS itu kini sedang berbincang dengan rakan kongsi industri untuk meneroka pilihan komersil.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg