Beberapa kedai di dua lantai besmen di pusat beli belah NEX di Serangoon Central mula dibuka semula untuk perniagaan hari ini (8 Ogos) selepas operasinya digantung semalam akibat kebocoran air.
Kunjungan The Straits Times pagi tadi ke kawasan berhadapan sebuah kedai makan Food Republic yang sedang beroperasi telah dihadang dan air masih menitis perlahan dari siling.
Seorang jurucakap NEX semalam (7 Ogos) berkata ia dimaklumkan tentang insiden aliran balik air itu oleh seorang pekedai di tingkat satu pada 5.55 petang kelmarin (6 Ogos).
"Satu isu paip telah dikenal pasti yang bermula dari perangkap lantai di mana aliran balik air merebak ke kawasan runcit mereka dan di tingkat satu," tambah jurucakap itu.
Masalah tersumbat itu diselesaikan pada 11 malam, namun sisa air terus bocor dari unit tersebut dan menjejas beberapa pekedai di seluruh besmen, kata jurucakap itu.
"Demi keselamatan pekedai dan pelanggan, kami telah memberitahu pekedai terjejas agar menggantung operasi sehingga isu dihuraikan sepenuhnya."
Seorang pekerja di salah sebuah kedai di besmen dua, yang enggan berikan namanya, memberitahu ST bahawa cawangan itu telah ditutup semalam akibat titisan air dari siling di hadapan premis itu.
"Bila saya tiba pada 8.15 pagi, saya tidak dapat masuk ke kedai.
"Pihak pengurus pusat beli belah ini berkata adalah terlalu berbahaya untuk saya membukanya.
"Mujur tiada apa yang terjejas dalam kedai ini dan kami dibenarkan buka hari ini," kata pekerja dalam linkungan 60an tahun itu.
Dalam responsnya, jurucakap itu berkata bahawa siling yang runtuh itu berkaitan dengan kebocoran yang berlaku dan lokasi yang terjejas telah dihadang.
"Kawasan terjejas telah diperiksa dan diperbaiki dan kini boleh diakses pelanggan.
"Masalah sumbat dan kebocoran itu telah diperbaiki sejak petang tadi.
"Kerja-kerja aestetik dan pembersihan sisa titisan air masih dijalankan.
"Kami mohon maaf di atas rasa tidak selesa yang dialami pekedai dan pelanggan kami."
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg