SYARIKAT makanan dan minuman (F&B), dari kedai kopi hingga kafe, giat membuat persediaan dan perubahan terhadap operasi mereka menyusuli pengumuman kelmarin bahawa pelanggan dilarang menjamu selera di kedai makan mulai Selasa ini, dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Beberapa peniaga ditinjau Berita Minggu (BM) sudah pun menjangkakan langkah itu dan telah mula meningkatkan promosi bagi khidmat penghantaran ke rumah. Namun, ada peniaga meluahkan keprihatinan kerana mereka banyak bergantung pada khidmat makan di kedai.

Kelmarin, pemerintah mengumumkan tempat makan boleh dibuka semasa Singapura melaksana langkah'pemutus litar' bagi mengurangkan risiko penularan besar Covid-19 dari Selasa ini hingga 4 Mei.

Tempat makan seperti restoran, pusat penjaja dan kedai kopi boleh dibuka tetapi pelanggan hanya boleh memesan makanan untuk dibawa pulang atau menerusi khidmat penghantaran. Mereka tidak dibenarkan menjamu selera di kedai itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Restoran Al-Azhar, Encik Husain Mansoor, berkata syarikatnya sudah menjangka larangan itu dan membuat perancangan bagi meneruskan perniagaan.

"Kami sudah menimbangkan keadaan pelanggan tidak duduk makan di kedai tetapi hanya membawa pulang makanan atau memesan penghantaran makanan. Ia sudah menjadi realiti dan kami memahami ia langkah yang perlu," ujarnya.

Oleh itu, restorannya, yang boleh dicari di wadah penghantaran makanan seperti Grabfood dan foodpanda, akan membuka khidmat menghantar makanannya sendiri.

"GrabFood dan foodpanda hanya boleh menghantar makanan dalam jarak tiga kilometer. Oleh itu, khidmat penghantaran kami melengkapinya dan boleh menghantar makanan di seluruh Singapura pada bayaran daripada $3," ujarnya.

Pemilik kedai kopi Saffrons, Cik Beevi Ayoob, juga sudah membuat persediaan. Selain mengatur semula pengurusan kakitangannya, Saffrons akan memeriksa suhu badan pelanggan yang menunggu pesanan mereka di pekarangan kedai.

"Pelayan kami tidak perlu kemas dan lap meja jadi mereka akan membantu dalam persediaan dan pembungkusan makanan... kami tetap menggunakan tenaga kerja penuh," ujar Cik Beevi, sambil berklata selain khidmat menghantar makanannya sendiri, makanan Saffrons boleh dipesan menerusi wadah penghantaran makanan seperti GrabFood dan Deliveroo.

Cik Beevi berkata beliau banyak menanggung kerugian sewaktu kejadian Sars, namun kali ini beliau bersedia menghadapi cabaran yang datang.

Pemilik restoran makanan Sweden halal Fika, Cik Tasneem Noor, berkata langkah tidak membenarkan pelanggan menjamu selera di restoran amat sukar baginya kerana ciri pelanggannya yang sanggup membayar bayaran premium bagi menikmati sajian makanan unik dan berbeza serta sekitaran restoran itu.

"Amat sukar untuk kami kekal dengan hanya menggunakan khidmat penghantaran. Sukar untuk bersaing dengan kedai makan lain yang menjual makanan pada harga jauh lebih rendah di mana model perniagaannya mempunyai khidmat penghantaran," ujarnya, yang sedang sibuk membuat persiapan bagi khidmat penghantaran yang bakal dilaksanakan Fika.

Untuk mengharungi tempoh mencabar ini, Cik Tasneem berkata mereka akan menawarkan 20 peratus diskaun bagi set makanan mereka untuk penghantaran supaya ia lebih dimampui.

"Pelayan kami tidak perlu kemas dan lap meja jadi mereka akan membantu dalam persediaan dan pembungkusan makanan... kami tetap menggunakan tenaga kerja penuh." - Cik Beevi Ayoob, Pemilik kedai kopi Saffrons