KEDUTAAN Turkey di Singapura telah mengeluarkan senarai bagi pendermaan barangan termasuk baju sejuk untuk orang dewasa dan kanak-kanak. Senarai tersebut, yang dimuat naik di saluran-saluran media sosial kedutaan tersebut, menyenaraikan 16 barangan yang diperlukan seperti lampin, selimut dan makanan bayi. Ia akan dihantar kepada mangsa-mangsa gempa bumi yang melanda Turkey dan Syria Isnin lalu. Khemah dan beg tidur, yang diperlukan untuk tempat teduh sementara, juga diperlukan mangsa gempa yang sekuat 7.9 pada skala Richter. Gempa tersebut sejauh ini telah mengakibatkan kerosakan besar, korban jiwa melebihi 8,700 di Turkey dan Syria dengan ribuan lagi tanpa tempat tinggal. Ini ditambah pula dengan cuaca sejuk dan gangguan elektrik. Orang ramai yang ingin mendermakan barangan yang tersenarai boleh menghantarnya sendiri atau melalui penghantaran mel ke kedutaan Turkey di alamat SGX Centre 1, 2 Shenton Way, 10-03.