KEDUTAAN Turkey di Singapura telah menghentikan penerimaan barangan derma buat sementara waktu bagi mangsa gempa yang melanda Turkey dan Syria baru-baru ini disebabkan sambutan luar jangka. Dalam satu catatan Facebook kedutaan itu pada Khamis (9 Feb), ia menyatakan bahawa disebabkan banyaknya sumbangan barangan seperti baju musim sejuk, maka kutipan dihentikan buat sementara waktu. "Keputusan ini bertujuan mencerminkan keazaman kami untuk menggunakan sepenuhnya sumbangan yang diterima dan kepekaan kami untuk menghormati sepenuhnya kemurahan hati rakan-rakan kami di Singapura," tambah kenyataan tersebut. Pada 11.30 pagi Khamis, kedutaan itu memuat naik catatan di saluran media sosial mengarahkan penderma dari premis kedutaannya di SGX Centre 1 ke sebuah pusat pengumpulan di 10 Genting Lane, selepas pejabat kedutaan itu kehabisan ruang. Laporan The Straits Times dan gambar dari media sosial menunjukkan barisan penderma dengan beg-beg yang diatur di lobi SGX Center. Sebelumnya, kedutaan itu telah mengemukakan permintaan bagi pendermaan barangan seperti baju musim sejuk bagi orang dewasa dan kanak-kanak serta bekalan seperti khemah, selimut dan lampin.