Topik diikuti
Pergi ke BHkuKegiatan di luar masjid akan digantung jika PSI cecah paras ‘sangat tidak sihat’
Namun, kekal dibuka untuk solat fardu dan Jumaat, dengan langkah tambahan diambil bagi lindungi golongan berisiko
Kegiatan di luar masjid akan digantung jika PSI cecah paras ‘sangat tidak sihat’
Masjid di Singapura akan menggantung program dan kegiatan yang diadakan di luar sekiranya Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam akibat jerebu berada di paras ‘sangat tidak sihat’ iaitu antara 201 dengan 300.
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam satu kenyataan pada 12 Oktober berkata masjid di sini akan kekal dibuka untuk solat fardu dan solat Jumaat berjemaah, dengan beberapa langkah berjaga-jaga diambil.
Antara langkah tersebut termasuk memastikan pintu dan tingkap ditutup, jika kemudahan membenarkannya, serta menyediakan bilik dengan penyaman udara yang dilengkapi dengan alat pembersih udara untuk jemaah atau kakitangan yang berasa kurang sihat, kata MUIS dalam respons susulan kepada Berita Harian.
Aturan solat di masjid juga akan disesuaikan mengikut keadaan jerebu, kemudahan ruang dalaman yang tersedia dan nasihat kesihatan nasional, tambahnya.
“Masjid telah disediakan dengan panduan bagi kesiapsiagaan menghadapi jerebu, merangkumi langkah berjaga-jaga yang harus diambil berdasarkan paras PSI.
“Langkah tambahan sedang diambil untuk melindungi jemaah, khususnya warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan,” kata MUIS, sambil menambah bahawa ia menasihatkan jemaah memakai pelitup sebelum ke masjid.
Langkah sedemikian diambil menyusuli keadaan jerebu di Singapura yang mencatatkan paras ‘tidak sihat’ sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Menurut laman web Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), sehingga 12 tengah hari pada 12 Oktober, PSI 24 jam di sini ialah 107-151, iaitu dalam paras ‘tidak sihat’.
Keadaan jerebu kali ini adalah disebabkan kebakaran hutan di Indonesia, dan setakat 12 Oktober, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia melaporkan masih terdapat lebih 6,800 titik kebakaran hutan dan tanah gambut di beberapa wilayah, sebahagian besarnya di Kalimantan.
Sehubungan itu, MUIS berkata madrasah sepenuh masa dan pusat tadika di masjid telah dinasihatkan melaksanakan langkah-langkah pengurusan jerebu sejajar dengan nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) dan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda).
Langkah sedemikian termasuk menyesuaikan kegiatan di luar dan memantau kemaslahatan murid dan kakitangan, manakala ibu bapa pula akan dimaklumkan oleh pihak sekolah atau tadika terhadap sebarang perubahan pada kegiatan atau pengaturan sekolah, ujar MUIS.
“MUIS akan terus memantau situasi jerebu dengan teliti dan bekerjasama dengan agensi pemerintah yang relevan untuk menyemak dan menyesuaikan langkah yang diambil mengikut keperluan, selaras dengan keadaan semasa dan nasihat kesihatan nasional,” kata badan itu lagi.
Dalam pada itu, Pejabat Mufti pada Februari 2025 pernah mengeluarkan irsyad atau panduan yang membolehkan jemaah Muslimin untuk tidak menghadiri solat Jumaat dan solat jemaah di masjid, apabila jerebu mencapai tahap pencemaran udara yang membahayakan kesihatan atau berpotensi mengancam nyawa.
Ini terutamanya bagi kanak-kanak kecil, warga emas atau mereka yang mempunyai masalah kesihatan, seperti masalah jantung dan pernafasan, dengan Pejabat Mufti menggalakkan agar golongan ini mengambil langkah berjaga-jaga dan mengurangkan kegiatan luar.
Irsyad tersebut turut menambah bahawa jemaah dan pihak masjid digesa untuk, semampu mungkin, melaksanakan ibadah dan kegiatan keagamaan dalam ruang tertutup masjid, sejajar dengan semangat Islam yang menggalakkan umatnya mengambil langkah berjaga-jaga daripada sebarang kemudaratan.
Ia berdasarkan rukhsah atau keringanan, tatkala umat Islam ditimpa kesusahan dan kesempitan serta berusaha melepaskannya daripada kesukaran itu, jelas panduan Pejabat Mufti tersebut.
“
“MUIS akan terus memantau situasi jerebu dengan teliti dan bekerjasama dengan agensi pemerintah yang relevan untuk menyemak dan menyesuaikan langkah yang diambil mengikut keperluan, selaras dengan keadaan semasa dan nasihat kesihatan nasional.”