Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keharmonian kaum, bangsa S’pura boleh jadi contoh sejagat: Faishal

Jul 18, 2023 | 5:32 PM
TELADAN: Dr Muhammad Faishal Ibrahim (lima dari kanan) dan Pengerusi Lembaga Pengarah, Heartfulness Limited Singapore, Encik Nitin Govilla (tiga dari kiri) bersama beberapa belia daripada agama berbeza dalam nyalaan lilin perdamaian bersama.
TELADAN: Dr Muhammad Faishal Ibrahim (lima dari kanan) dan Pengerusi Lembaga Pengarah, Heartfulness Limited Singapore, Encik Nitin Govilla (tiga dari kiri) bersama beberapa belia daripada agama berbeza dalam nyalaan lilin perdamaian bersama. - Foto PUSAT HARMONI

Singapura boleh menjadi contoh di peringkat antarabangsa sebagai negara berbilang kaum dan agama yang terus hidup secara harmoni antara satu sama lain, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Bercakap kepada media di Persidangan Keamanan Singapura 2023, Dr Faishal berkata negara lain boleh mempelajari dan meniru pelbagai inisiatif asas yang ada.

Persidangan Keamanan ialah daya usaha yang diterajui beberapa masyarakat berlainan di sini, anjuran bersama oleh Pusat Harmoni, Heartfulness Limited Singapore, Misi Tao, International Multi Cultural Organisation (IMC) dan Khalsa Dharmak Sabha Gurudwara.

Mengenai persidangan itu, Dr Faishal berkata: “Acara seperti ini memberi kita peluang mendalami beberapa usaha lain di mana kita daripada pelbagai agama dan bangsa bersama-sama meluaskannya pada masa akan datang.”

Seramai 180 peserta daripada pertubuhan masyarakat, pendidik, penggubal dasar, individu tempatan dan antarabangsa berkumpul untuk saling berkongsi persamaan serta memberi inspirasi kepada usaha masa depan.

Ia termasuk peserta dari Australia dan Malaysia.

Melahirkan rasa gembira melihat penglibatan warga antarabangsa, Dr Faishal berkata: “Dengan adanya kerja-kerja baik yang kita lakarkan di sini, mereka dapat peluang pelajari usaha-usaha ini.

“Mereka tahu bahawa Singapura merupakan tempat di mana bukan sahaja kita hidup berbilang bangsa dan agama, malah dapat menimba ilmu serta pengalaman dan menggunakannya sebagai contoh di negara dan masyarakat mereka.”

Antara yang hadir di acara itu ialah anggota Pertubuhan Antara Agama (IRO) Singapura iaitu Imam Masjid Ba’alwie, Habib Syed Hassan Al-Attas.

Di persidangan itu, beberapa perbincangan panel bersama karyawan dan belia diadakan, meliputi tema seperti antara agama, kesejahteraan mental, alam sekitar dan kepimpinan wanita.

Menekankan pentingnya isu-isu itu dibincangkan, Ketua Pusat Harmoni, Ustazah Liyana Rosli Asmara, berkata ia membolehkan orang ramai memahami dengan lebih mendalam isu-isu yang boleh menimbulkan ketegangan dan salah faham.

“Proses perdamaian itu merupakan sesuatu yang harus dilakukan setiap hari,” kata Ustazah Liyana.

Beliau harap persidangan itu dapat membina rangkaian sumber yang baik bagi pelbagai masyarakat.

“Kita ingin membina wadah yang membolehkan para peserta berkongsi sumber dan maklum balas supaya dapat menghasilkan dan melakukan pelbagai usaha ke arah keharmonian, dan mungkin dapat menggabungkan usaha untuk menghasilkan sesuatu yang lebih strategik bersama pada masa akan datang,” kata Ustazah Liyana.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg