Melihat seorang budak lelaki daripada keluarga yang mendera mengalami pelbagai trauma dan keperitan merupakan kes kerja sosial pertama Dr Sudha Nair, Pengarah Eksekutif Pave.
Kes itu menjadi dorongan bagi Dr Sudha menawarkan bantuan kepada kanak-kanak dan keluarga susah untuk mengharungi cabaran mereka.
Pave ialah sebuah perkhidmatan bersepadu bagi keganasan keluarga, perlindungan kanak-kanak dan penderaan seksual.
Semasa bekerja bersama pelbagai kanak-kanak dan keluarga, satu lagi kes yang meninggalkan kesan pada diri Dr Sudha adalah melibatkan seorang budak lelaki yang pulang ke rumah dan melihat bapanya menggantung diri.
Kes itu menambahkan tekad Dr Sudha memberi ketenangan jiwa dan harapan kepada mereka yang terjejas.
Walaupun telah melepasi umur persaraan, Dr Sudha, yang kini berusia 66 tahun, secara aktif meneroka pelbagai cara untuk menghulurkan bantuannya kepada golongan itu dan kekal teguh dalam bidangnya tanpa rancangan untuk bersara.
Dedikasi dan nilai insan luar biasa Dr Sudha dalam bidang kerja sosial sepanjang 34 tahun lalu diiktiraf apabila beliau diberi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Abdeali Tayebali kesembilan.
Mantan presiden, Puan Halimah Yacob, menyampaikan anugerah tersebut kepada Dr Sudha dalam sebuah majlis di Raffles Town Club pada 28 November.
Anugerah itu dilancarkan Encik Ameerali Abdeali, seorang pesara penjawat awam, pada 2012.
Dalam satu pertemuan bersama Berita Harian, Dr Sudha berkata sudah kira-kira 23 hingga 24 tahun tumpuan tugasnya terletak pada keganasan rumah tangga.
Beliau melibatkan diri dalam isu keganasan rumah tangga dan institusi keluarga yang tidak berfungsi di Pusat Khidmat Keluarga selama 17 tahun setelah lulus dalam jurusan kerja sosial di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Pada masa itu, beliau juga memulakan Pave, yang sekarang menyediakan perkhidmatan bagi pendera, mangsa penderaan dan ahli keluarga mudah terdedah, seperti kanak-kanak dan orang tua, dalam menangani keganasan hubungan.
Selepas 17 tahun berlalu, Dr Sudha melanjutkan pengajian doktor falsafah dan kemudian mengajar kerja sosial di NUS selama sedekad sebelum kembali ke Pave.
Beliau mengimbas kembali tentang seorang kanak-kanak yang dahulu takut akan keadaan di rumahnya tetapi sekarang mengajukan soalan: “bila ayah nak balik?”, “bila kita nak balik?”, “apakah kita akan tunggu ayah balik dan makan malam bersama?”
“Melihat keluarga-keluarga ini bersatu semula dan meneruskan kehidupan selepas mengalami keganasan, menyaksikan mereka menyedari bahawa mereka mempunyai masa depan yang boleh mereka nantikan… ia memberi saya banyak kegembiraan melihat mereka,” kata Dr Sudha.
“Saya amat berbesar hati menerima anugerah ini. Encik Abdeali Tayebali adalah seorang yang penuh belas kasihan dan baik hati. Jadi menerima anugerah dalam ingatannya adalah sesuatu yang saya sangat hargai.”
Pada masa hadapan, Dr Sudha berhasrat mendekati lebih banyak keluarga.
Beliau berharap orang ramai tidak berasa malu untuk tampil dan mendapatkan bantuan, jelasnya sambil menekankan adalah lebih baik untuk mendapatkan bantuan pada peringkat awal.
Daripada sudut peribadi pula, Dr Sudha, meluangkan masa lapangnya dengan keluar bersama rakan-rakan, membaca dan menonton Netflix.
Namun, dedikasi beliau jelas terbukti dalam sebahagian masanya yang diluangkan bekerja atau memikirkan tentang kerjanya.
“Saya fikir bagaimana kita boleh memperbaiki keadaan, bagaimana kita boleh berkembang. Pertama, untuk meningkatkan kecekapan rakan sekerja saya. Bagaimanakah saya boleh membantu untuk melakukannya?
“Perkara kedua ialah, apakah boleh kita lakukan sebagai sebuah pertubuhan untuk memperbaiki kehidupan orang yang datang kepada kita?” kata Dr Sudha, sambil tergelak kecil apabila mengenangkan dedikasi terhadap pekerjaannya.
Apa yang dilakukannya bukan sekadar pekerjaan tetapi kerjaya yang mendorongnya terus menyumbang dalam bidang kerja sosial melepasi usia persaraan.
“Saya berharap dapat menghabiskan masa depan saya mencari jalan untuk mengecilkan jurang dalam perkhidmatan, melatih golongan muda dan pekerja sosial muda,” tambahnya.
Dr Sudha menekankan keperluan terus mencari cara berbeza, lebih baru dan inovatif kerana bidang kerja sosial sentiasa berubah dan giat berkembang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg