IBU bapa di Punggol East akan mempunyai satu lagi pilihan tajaka apabila sebuah kelab masyarakat baru dibuka pada 2020.

Tajaka itu akan memenuhi tingkat atas bangunan lima tingkat baru tersebut, yang termasuk juga sebuah besmen.

Kelab masyarakat itu, yang sekitar lapan kali lebih besar daripada yang sedia ada di Blok 193 Rivervale Drive, akan menjadi kelab masyarakat pertama dibina menggunakan kayu buatan manusia yang menggunakan bahan boleh dibaharui dan menggunakan kaedah pasang siap bagi mengurangkan kerja yang dilakukan di tapak.

Encik Charles Chong, Anggota Parlimen (AP) Punggol Timur dan penasihat akar umbi, memberitahu satu majlis pecah tanah pada Ahad (16 Sep) bahawa kelab masyarakat itu bertujuan menjadi tempat bagi penduduk bertemu, berinteraksi dan belajar, lapor The Straits Times dalam talian.

"Oleh kerana Punggol East estet agak muda, kami perlu menyesuaikan program (dengan demografi)... Ada juga permintaan bagi perkhidmatan penjagaan kanak-kanak," katanya di luar acara itu.

Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean, yang juga AP GRC Pasir Ris-Punggol, turut hadir di majlis tersebut.

Selain tajaka, kelab masyarakat itu akan mempunyai dua studio tarian, dewan serbaguna bagi sukan dan studio masakan.

Selain bahan binaannya, kelab masyarakat itu akan mempunyai ciri-ciri hijau, termasuk tembok hijau, kebun masyarakat, dan pencahayaan semula jadi serta pengudaraan akan digunakan sebanyak mungkin, kata Encik Chong.

Beliau menggalak penduduk menyertai kaji selidik yang akan mengukur jenis kegiatan yang mereka harap dapat lihat di kelab masyarakat baru itu.

Encik Chong berkata: "Kami mahu menjadikan ini ruang yang penduduk yang ingin datangi."