Lebih 100 pelajar, pekerja muda dan pemimpin industri menghadiri edisi kedua Konvensyen Mara, satu inisiatif utama anjuran Kelab Mendaki, pada 15 September.
Konvensyen Mara itu direka bagi memenuhi aspirasi kerjaya pelajar institut pengajian tinggi dan karyawan muda Melayu/Islam di Singapura.
Program itu berfungsi sebagai sumber penting untuk belia Melayu/Islam, membolehkan mereka melancarkan dan mengekalkan kerjaya pilihan mereka melalui siri kegiatan yang diadakan sepanjang tahun dengan kerjasama rakan kongsi industri.
Konvensyen kali ini diadakan di Guoco Midtown di Beach Road, dan dihadiri tetamu terhormat, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Encik Masagos, yang juga pengerusi Yayasan Mendaki, menekankan pentingnya sokongan masyarakat dalam membantu bakat muda mengemudi pasaran pekerjaan dan melancarkan kerjaya bermakna.
Beliau yang juga Menteri Kedua Kesihatan turut berkongsi petua mengukuhkan daya tahan, satu sifat penting yang perlu dimiliki oleh golongan muda untuk berjaya secara profesional.
“Program Mara merupakan salah satu contoh daripada usaha menyeluruh masyarakat bagi memupuk aspirasi belia kita dan menyediakan mereka dengan kaedah yang diperlukan untuk berkembang maju dalam pasaran kerja yang kompetitif hari ini,” ujar Encik Masagos.
Dalam Konvensyen Mara, para peserta didedahkan kepada pandangan berharga tentang industri berbeza menerusi pelbagai kegiatan, termasuk perbincangan panel, sesi rangkaian dan sesi bimbingan.
Pengerusi Mara dan Naib Presiden Kelab Mendaki, Cik Amalina Abdul Nasir, berkata Kelab Mendaki berdedikasi menyokong aspirasi belia Melayu/Islam menerusi rangkaian programnya.
“Kami percaya bahawa dengan menyediakan akses kepada sumber dan bimbingan, kami boleh memperkasa peserta kami untuk mencapai matlamat kerjaya mereka dan menyumbang kepada pertumbuhan masyarakat,” kongsi Cik Amalina.
Antara peserta yang meraih manfaat daripada Konvensyen Mara ialah Cik Erin Nur Ariana Jamalluddin.
“Sesi ini satu pengalaman yang mengayakan. Saya datang ke sini untuk mendapatkan penjelasan dan panduan mengenai cara membentuk fasa seterusnya dalam kerjaya saya.
“Saya terima petunjuk berharga untuk kekal mempunyai minda terbuka dan sifat ingin tahu, sambil memberi tumpuan kepada membangunkan etika kerja yang kukuh.
“Ini memainkan peranan dalam membantu mewujudkan peluang baru untuk membangunkan diri sendiri,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg