Topik diikuti
Pergi ke BHkuKeldai akaun dalam talian berdepan penjara di bawah undang-undang baharu
Rang Undang-Undang Penipuan (Tindakan Balas) dan Perkara-Perkara Lain diluluskan pada 9 Sep
Keldai akaun dalam talian berdepan penjara di bawah undang-undang baharu
Individu yang membekalkan akaun dalam talian mereka di platform Carousell, TikTok, Telegram dan Meta kepada penjenayah boleh berdepan hukuman penjara di bawah undang-undang antipenipuan baharu.
Rang Undang-Undang Penipuan (Tindakan Balas) dan Perkara-Perkara Lain telah diluluskan pada 9 September.
Tindakan menyerah butiran peribadi bagi pendaftaran akaun sedemikian, membekal atau membeli akaun berkenaan untuk tujuan jenayah kini merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang tersebut.
Keldai akaun dalam talian yang disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga $10,000 dan dikenakan sehingga 12 kali sebatan.
Undang-undang serupa yang menyasarkan keldai wang serta pihak yang membekalkan kad SIM dan akaun Singpass bagi tujuan penipuan sebelum ini sudah pun dikuatkuasakan.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan bahawa kesalahan baru yang menyasarkan keldai akaun dalam talian ini memperluaskan lagi usaha sedia ada dalam membanteras jenayah penipuan.
Undang-undang baru itu turut menaikkan kadar denda maksimum bagi penyedia perkhidmatan dalam talian yang gagal mematuhi kod amalan dan arahan pelaksanaan, daripada $1 juta kepada $10 juta.
Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming, berkata ini menjadikannya penalti kewangan tetap yang tertinggi dalam undang-undang Singapura.
Menyifatkan usaha membanteras jenayah penipuan sebagai keutamaan tertinggi pemerintah, beliau berkata:
“Kami tidak membuat keputusan ini sewenang-wenang.
“Namun, ia diperlukan sebagai satu langkah pencegahan yang wajar terhadap kegagalan platform dalam talian mematuhi arahan, bertepatan dengan skala cabaran yang kita hadapi serta tahap bahaya yang boleh berpunca daripada penipuan di platform berkenaan.”
Denda harian bagi kesalahan yang berterusan turut dinaikkan daripada $100,000 kepada $300,000.
Dua arahan pelaksanaan pernah dikeluarkan kepada Meta sebelum ini pada September 2025 dan Januari lalu, yang mewajibkannya melaksanakan langkah-langkah antipenipuan.
Polis sebelum ini menyatakan bahawa arahan di bawah Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (Ocha) telah menyumbang kepada penurunan kes penipuan penyamaran di Facebook.
Sebanyak 1,363 kes penipuan penyamaran pegawai pemerintah direkodkan pada separuh pertama 2026, berbanding 1,772 kes dalam tempoh yang sama pada 2025.
Mangsa penipuan di Singapura mengalami kerugian keseluruhan sebanyak $410.6 juta pada separuh pertama 2026.
Dalam ucapan pembukaannya, Encik Goh berkata pihak polis menerima 90 laporan penipuan sehari secara purata, melibatkan kerugian sebanyak $2 juta.
“Penipu akan terus membuat penyesuaian (kepada taktik mereka), maka kita juga perlu berbuat demikian.
“Respons kita perlu berterusan, diselaraskan dan sentiasa berpandangan ke hadapan,” tambah Encik Goh.
Penipu kini turut menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi mereka untuk membangunkan sejumlah besar laman web, akaun dan iklan penipuan dalam tempoh yang singkat.
Undang-undang baru ini membenarkan pihak polis untuk turut memanfaatkan AI dalam membanteras penipuan.
Rang Undang-Undang berkenaan memperkenalkan tiga perintah baharu yang boleh dikeluarkan pihak polis kepada penyedia perkhidmatan seperti bank, syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan dalam talian.
Pertama ialah perintah pendedahan, bagi mengarahkan penyedia perkhidmatan menyerahkan maklumat mengenai akaun tertentu dan aktiviti berkaitan penipuan.
Kedua ialah perintah memansuhkan akaun, yang mengarahkan penyedia perkhidmatan menyekat akaun tertentu sehingga 30 hari, dengan kemungkinan lanjutan satu hari sehingga 30 hari lagi.
Perintah-perintah ini berkaitan dengan Senarai Penipuan Nasional polis, yang berkongsi maklumat seperti identiti pelaku, akaun bank, talian telefon dan akaun dalam talian bersama pemerintah serta rakan kongsi.
Langkah ini membolehkan akaun disyaki terlibat dalam penipuan digantung sebelum sebarang wang dipindahkan.
Perintah ketiga ialah perintah pembatasan perkhidmatan, yang membolehkan polis mengarahkan penyedia perkhidmatan supaya menyekat akses atau penyediaan perkhidmatan kepada individu tertentu sehingga tiga tahun.
Ini bertujuan untuk mengelakkan individu berkenaan daripada mengakses perkhidmatan tersebut dan mempergunakannya bagi kegiatan penipuan.
