SATU kelompok baru telah muncul di sebuah asrama yang terletak di 43 Sungei Kadut Loop, kata Kementerian Kesihatan (MOH) malam kelmarin.
Sebanyak 13 kes dikaitkan dengan kelompok itu.
Kelompok yang dikaitkan dengan kakitangan di Pusat Pertukaran Bas Bishan pula telah bertambah menjadi 15, dengan lima kes baru.
MOH juga berkata empat kelompok telah ditutup.
Ini bermakna terdapat 99 kelompok aktif kini yang mempunyai antara tiga dengan 1,155 jangkitan.
MOH juga berkata bilangan kes baru dalam masyarakat telah turun dari 526 dua minggu lalu kepada 331 minggu lalu.
Bilangan kes yang tidak berkait merosot dari 148 kepada 89 dalam tempoh yang sama. Ini adalah bilangan kes masyarakat mingguan yang terendah sejak 18 Julai.
Buat masa ini, 426 pesakit dirawat di hospital, 33 memerlukan sokongan oksigen, sementara tujuh dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.
Tujuh daripada 40 pesakit itu telah menerima dua dos vaksin.
Di kalangan mereka yang sakit tenat, 32 adalah warga emas berusia lebih 60 tahun. Di kalangan mereka ini, 26 tidak divaksin atau baru menerima satu dos vaksin.
MOH berkata terdapat bukti berterusan bahawa hampir semua individu yang telah divaksin tidak mengalami penyakit serius apabila dijangkiti.
Kecuali, mereka mempunyai kondisi perubatan yang membuat mereka lebih rentan.
Dalam masa 28 hari kebelakangan, peratusan mereka yang tidak divaksin yang menjadi sakit tenat atau meninggal dunia adalah 9.8 peratus.
Manakala peratusan sama untuk orang yang telah menerima dua dos vaksin adalah 1.2 peratus, tambah kementerian itu.
Mengenai usaha vaksinasi negara, MOH berkata 76 peratus penduduk Singapura telah diberi dua dos vaksin hingga Ahad, sementara 82 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Sejumlah 8,438,233 dos vaksin Covid-19 telah diberikan di bawah program vaksinasi nasional itu. Ini meliputi 4,432,081 orang dengan 4,136,498 orang telah menerima dua dos vaksin.
Selain itu, 149,107 dos vaksin lain yang disertakan dalam Senarai Penggunaan Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah diberikan, meliputi 83,796 orang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg