Kelompok Covid-19 IMH: Dua wad ditutup kepada pelawat
DUA wad yang terjejas dengan jangkitan Covid-19 di Institut Kesihatan Mental (IMH) telah ditutup manakala lawatan tidak dibenarkan hingga dimaklumkan kemudian selepas sebuah kelompok jangkitan baru dikenal pasti di institusi tersebut kelmarin.
Kelompok itu mempunyai enam kes dalam dua wad yang bersebelahan termasuk seorang jururawat staf, seorang atendan kesihatan dan empat pesakit.
Jururawat staf yang bekerja di kedua-dua wad itu disahkan dijangkiti koronavirus itu Sabtu lalu.
Baki lima kes yang dijangkiti Covid-19 itu dikesan menerusi ujian pemantauan pada Sabtu dan Ahad lalu.
Kedua-dua kakitangan IMH dan salah seorang daripada empat pesakit yang dijangkiti itu telah mendapatkan dua dos vaksin Covid-19 manakala tiga lagi pesakit yang dijangkiti belum divaksinasi.
Menurut IMH, ujian pemantauan sedang dijalankan bagi semua kakitangan dan pesakit di kedua-dua wad tersebut.
Sebagai langkah berjaga-jaga, IMH juga telah mula menjalankan ujian pemantauan sekali bagi semua kakitangan dan ini dijangka selesai lusa.
IMH juga akan menguji semua pesakit yang sedang dirawat dalam institusi itu secara bertahap.
Oleh kerana kelompok itu terhad kepada dua wad sejauh ini, operasi di bahagian lain hospital tersebut tidak terjejas.
Sejak Covid-19 mula menular di Singapura, IMH telah meningkatkan langkah kawalan jangkitan dan pemantauan bagi pengunjung, pesakit dan kakitangan, menurut IMH.
Langkah bagi kakitangan termasuk memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang sesuai di tempat kerja serta aturan kerja modular atau dalam kumpulan yang berasingan jika boleh.
Kakitangan juga diingatkan untuk tidak datang ke tempat kerja jika sakit dan harus berjumpa doktor.
Mereka juga harus memastikan jarak selamat dan kebersihan tangan yang ketat.
Selain itu, kakitangan yang bekerja dengan pesakit harus menjalani rejim ujian rutin berjadual (RRT).
IMH berkata suhu badan pesakit yang sedang dirawat dalam institusi itu dipantau dua kali sehari dan jururawat akan memantau mereka bagi tanda sebarang penyakit, khususnya simptom Covid-19 yang lazim.
Usaha pendidikan pesakit juga disediakan untuk membantu pesakit memahami keadaan koronavirus itu serta pentingnya kebersihan peribadi dan kawalan jangkitan.

