Kelompok JEM, Westgate: Pekerja pembersihan hotel kemungkinan sumber jangkitan Covid-19
Kelompok JEM, Westgate: Pekerja pembersihan hotel kemungkinan sumber jangkitan Covid-19
HASIL siasatan Kementerian Kesihatan (MOH) ke atas kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan individu yang bekerja atau mengunjungi pusat beli-belah JEM dan Westgate di Jurong menunjukkan terdapat penularan jangkitan yang berlanjutan dalam kalangan pengunjung kedua-dua kompleks.
Penemuan MOH yang dikongsi dalam kenyataan pada Isnin (24 April) memberi gambaran kemungkinan seorang pekerja pembersihan yang bertugas di Park Avenue Rochester, sebuah hotel yang dijadikan kemudahan khusus buat mereka yang menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN), menjadi sumber jangkitan di kelompok JEM/Westgate.
Wanita itu, jelas MOH, telah berkunjung ke Westgate pada 6 Mei. Proses penjujukan genom dan analisis filogenetik yang dijalankan Makmal Kesihatan Awam Nasional mendedahkan penjujukan pengunjung JEM dan Westgate serupa dengan wanita itu.
Bagi memastikan rantaian jangkitan berpotensi diputuskan dan demi membolehkan proses pembersihan dibuat ke atas kedua-dua premis beli-belah ini, JEM dan Westgate ditutup kepada semua orang awam mulai 23 Mei dan akan dibuka 14 hari selepas itu pada 6 Jun.
MOH telah menjalankan ujian operasi khas buat pekerja di kedua-dua premis. Ujian percuma juga diberi kepada orang awam yang mengunjungi JEM dan Westgate antara 10 dengan 14 Mei.
Memandangkan lebih banyak kes tambahan dikesan, ujian ini dilanjutkan buat pengunjung yang datang ke kedua-dua premis hingga 22 Mei. Semua pengunjung JEM dan Westgate sejak 10 Mei juga diminta memantau kesihatan mereka secara rapi selama 14 hari dari tarikh kunjungan.
Mereka digalakkan mengunjungi Pusat Pemeriksaan Serantau atau Klinik Kesediaan Kesihatan Awam 'Swab dan Hantar Pulang' (SASH) bagi ujian Covid-19 percuma jika mereka tidak sihat.
Sementara itu, kelompok JEM dan Westgate yang sudah mencecah 50 kes kesemuanya mempunyai tambahan enam kes yang dikenal pasti pada Isnin. Mereka terdiri daripada:
1) Remaja perempuan 19 tahun yang merupakan warga Malaysia. Beliau pelajar Politeknik Singapura yang berkunjung ke Westgate selama tiga hari.
2) Belia perempuan 20 tahun yang merupakan warga Malaysia. Beliau juga pelajar Politeknik Singapura yang berkunjung ke Westgate pada 10 Mei.
3) Wanita Singapura berusia 44 tahun yang bertugas sebagai kakitangan pentadbiran di ST Electronics (Jurong East).
4) Lelaki warga Malaysia berusia 49 tahun yang bekerja sebagai pekerja pengiriman di AST Logistics Pte Ltd. Beliau sering mengirim barang ke Westgate. Kes ini sudah menerima suntikan vaksin pertama pada 21 Mei.
5) Wanita Singapura berusia 24 tahun yang tidak bekerja. Beliau anggota keluarga kes yang dikesan sebelum ini.
6) Lelaki Singapura berusia 21 tahun yang bertugas sebagai pelayan Pizza Hut di Westgate. Beliau juga anggota keluarga kes sebelum ini.

