KUMPULAN orang ramai yang biasa dilihat di Toa Payoh sudah tiada, sedang estet itu merasakan kesan daripada beberapa kelompok Covid-19 yang muncul di sana dalam beberapa minggu kebelakangan.
Kementerian Kesihatan (MOH) telah mengenal pasti beberapa lokasi dengan kes Covid-19, dengan kelompok terbesar - 254 kes - di pusat pertukaran bas di Toa Payoh Central.
Kelompok lain adalah pasar dan pusat penjaja di Blok 210 Toa Payoh Lorong 8, pasar sayur malam borong di Toa Payoh East Lorong 7, Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah di Toa Payoh North, dan Orient Goldsmiths di Toa Payoh Central.
Pusat penjaja yang biasanya sibuk di sepanjang Toa Payoh Lorong 8
rata-rata lengang apabila The Straits Times mengunjunginya petang kelmarin.
Kurang suku daripada 80 gerainya beroperasi, dengan ramai penjaja memilih untuk tidak membuka kedai pada hari pertama sejak premis itu ditutup bagi kerja pembersihan selama tiga hari.
Kerja pembersihan itu, yang pada mulanya dijadualkan lusa , dilakukan lebih awal pada Ahad lalu setelah kes Covid-19 dikesan di kalangan pegerai dan pekerja di sana.
Sejumlah 41 kes yang dikaitkan dengan pusat penjaja dan pasar itu telah dikenal pasti.
Seorang penjaja wanita, yang enggan namanya disiarkan, berkata ramai pegerai lain keberatan menyambung perniagaan mereka kerana mereka tidak menjangkakan ramai pelanggan akan berkunjung.
Beliau berkata beliau memilih untuk membuka kedai kerana beliau masih perlu membayar kos sewa.
"Hari ini adalah hari yang sangat teruk, tidak ada orang di sini. Semasa waktu makan tengah hari, biasanya sibuk tetapi seperti yang kamu boleh lihat, sekarang kosong," katanya sambil menunjuk ke arah barisan meja yang lengang.
Seorang lagi penjaja berkata beliau biasanya menjual 50 mangkuk mi bebola ikan tetapi menjual kurang separuh daripada jumlah itu pada hari tersebut.
Anggota Parlimen, Encik Saktiandi Supaat, yang memantau kawasan yang merangkumi pasar dan pusat penjaja di Lorong 8 dan pasar sayur malam borong di Toa Payoh East Lorong 7, telah menasihatkan penduduk agar mengelakkan tempat ramai orang dan jika perlu, membuat lawatan singkat.
"Kami juga menggalak penduduk kami untuk melakukan ujian di rumah ke atas diri sendiri menggunakan kit ART (ujian pantas antigen)," tambahnya.
Perniagaan di sekitar pasar itu turut terjejas oleh berita kelompok dan penutupan hujung minggu itu.
Di pusat pertukaran bas di Toa Payoh Central, orang ramai yang biasa makan tengah hari di sana tidak ada.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg