KELOMPOK jangkitan Covid-19 di tajaka My First Skool di 54 Chin Swee Road telah meningkat kepada 31 kes, dengan 11 kes yang dilaporkan kelmarin.
Kelompok tersebut dikesan Khamis lalu.
Sementara itu, jumlah keseluruhan pesakit di dua kelompok berhubung kait dengan pusat pertukaran bas telah meningkat daripada 22 kes kepada 27 kes.
Kelompok pusat pertukaran bas di Bishan menambah satu kes, membawa jumlahnya kepada 10. Kelompok di pusat pertukaran bas Sengkang pula meningkat dari 13 ke 17 kes.
Menurut Profesor Teo Yik Ying dekan Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock di Universiti Nasional Singapura (NUS), risiko bagi penumpang menjangkiti Covid-19 ketika melalui pusat pertukaran bas di Bishan dan Sengkang adalah rendah.
"Ini terutama jika mereka menjaga langkah pengurusan selamat seperti penggunaan pelitup dan menjaga kebersihan tangan," kata pakar penyakit berjangkit itu.
Naib dekan penyelidikan di Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock di Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Madya Alex Cook berkata:
"Kecuali jika anda atau anggota isi rumah anda belum divaksin dan dalam kumpulan berisiko tinggi, maka itu saya tidak akan teragak-agak untuk menaiki pengangkutan awam walaupun ia kelompok baru dalam haluan perjalanan saya."
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah menyatakan bahawa 14 kapten bas dan dua kakitangan dari pusat pertukaran bas Sengkang adalah antara kes baru yang dilaporkan dalam kelompok itu. Mereka dikesan menerusi ujian pengawasan dan tidak menunjukkan simptom.
Sejauh ini tiada kelompok baru dilaporkan dan sembilan kelompok telah pun ditutup, kata Kementerian Kesihatan (MOH).
Menurut MOH, terdapat 102 kelompok aktif, dengan antara tiga hingga 1,155 jangkitan.
Sehingga kelmarin, seramai 443 pesakit dimasukkan ke hospital, termasuk 32 pesakit yang memerlukan bantuan tambahan oksigen.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg