Pengalaman manis bercuti di Eropah berubah menjadi mimpi ngeri apabila keluarga empat beranak dari Singapura terperangkap dalam satu kejadian tembakan rambang di Prague baru-baru ini hingga menyebabkan salah seorang anggota keluarga itu cedera parah akibat terkena peluru.
Kejadian malang di ibu kota Republik Czech itu berlaku pada 21 Disember, dan menyebabkan Penduduk Tetap (PR) Singapura, Encik Peter Vendel, 47 tahun, dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU) serta memerlukan beberapa pembedahan, termasuk mengeluarkan sebahagian tulang pelvisnya.
Ini menyusuli peluru yang menembusi paha kanannya hingga tersendat di bawah rusuknya.
Menurut agensi berita Reuters, pada 21 Disember, seorang pelajar Czech, David Kozak, 24 tahun, melepaskan tembakan rambang yang mengorbankan 14 orang dan mencederakan 25 yang lain di Universiti Charles di Prague, sebelum dia dipercayai membunuh dirinya sendiri.
Encik Vendel, yang berasal dari Belanda, kini mula sembuh, namun perlu menjalani satu lagi pembedahan implan tulang, kata isterinya yang merupakan warga Singapura, Cik Sofea Marsidah Musa, 40 tahun, kepada Berita Harian (BH).
Cik Sofea, yang bekerja dalam sektor tenaga manusia, bersama kedua-dua anaknya, Amirah Qystina Azman, 15 tahun, dan Josh Aidan Tariq Vendel, lima tahun, yang terselamat, masih berada di Prague sementara menemani suaminya pulih.
“Sebenarnya kami masih lagi trauma, dan mujur kakak ipar serta ibu mentua saya datang ke sini sehari selepas kejadian untuk beri sokongan,” katanya.
Kejadian yang melibatkan Encik Vendel itu didedahkan menerusi satu hantaran di Instagram milik satu perniagaan dari rumah (HBB) di sini, Manis En Zo – yang menjual sajian ‘fusion’ Melayu-Belanda – pada 6 pagi, 28 Disember.
Perniagaan itu dikendalikan bersama pasangan tersebut.
Catatan dalam Instagram itu menyatakan ia tidak dapat memenuhi tempahan sejenis sajian Belanda kerana “Encik Peter telah ditembak beberapa hari lepas”.
Apabila dihubungi wartawan, Cik Sofea berkata keluarganya itu sedang bercuti di Eropah termasuk lawatan ke beberapa negara dari 8 Disember dan dijadualkan pulang pada 29 Disember.
Mereka tiba di Prague pada 20 Disember, pada sebelah malam selepas menziarahi Paris, Switzerland dan beberapa kota di Jerman.
Cik Sofea berkata kejadian berlaku sekitar 3.15 petang waktu tempatan ketika mereka mengunjungi Charles Bridge dan sebuah bangunan Istana berdekatan.
“Malangnya kejadian itu berlaku di hadapan saya dan anak-anak saya sendiri,” ujarnya menerusi WhatsApp.
“Kami sedang berjalan di Charles Bridge menuju ke universiti itu apabila kami terdengar siren polis dan ambulans.
“Kemudian saya terdengar bunyi tembakan, tetapi suami saya tidak pedulikannya. Tiba-tiba kedengaran beberapa das tembakan lain dan orang di keliling kami mula menjerit dan melarikan diri.”
Selepas melarikan diri sejauh 500 meter, Cik Sofea menyangka ia sudah selamat, namun tiba-tiba Encik Vendel rebah, terkena peluru.
Beliau kemudian menerima bantuan daripada beberapa pejalan kaki yang mengheret tubuh badannya ke satu lokasi sebelum ambulans tiba di sisi mereka.
“Situasi pada ketika itu jadi huru-hara dan ia telah merosakkan percutian kami,” keluhnya.
Manis En Zo, dalam catatannya pagi 28 Disember, telah meminta maaf kerana lewat membalas pertanyaan pelanggan mengenai tempahan sejenis hidangan roti donut Belanda, dipanggil Olliebollen.
“Malangnya hujung tahun ini (2023), kami tidak boleh menguruskan tempahan anda bagi Olliebollen kerana Peter ditembak beberapa hari lalu,” tulis kenyataan itu.
Cik Sofea berkata, suaminya telah menjalani dua pembedahan bagi mengeluarkan peluru dan selumbar di bawah rusuk kanannya.
“Sebahagian tulang pelvisnya juga telah dikeluarkan kerana terkena peluru tersebut dan akan diganti implan dalam satu lagi pembedahan akan datang.
Cik Sofea, yang kini menetap di sebuah hotel di Prague, berkata beliau dan anak lelaki bongsunya akan menetap di situ sementara menantikan suaminya pulih. Anak perempuannya berusia 15 tahun akan pulang ke Singapura dahulu.
Cik Sofea juga sedang berhubung dengan pihak Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura dan Kedutaan Belanda di sana, dan telah melaporkan hal itu kepada pihak berkuasa Czech.
“Kami akan tabahkan diri dari hari ke hari,” ujarnya lagi.
Difahamkan sejauh ini hanya satu keluarga dari Singapura terlibat dalam kejadian tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg