Topik diikuti
Pergi ke BHkuKeluarga diimpikan bersama, tetapi siapa memikul bebannya?
Keluarga diimpikan bersama, tetapi siapa memikul bebannya?
Membina keluarga di Singapura hari ini bukan sekadar soal kemampuan kewangan. Pasangan juga perlu menangani tuntutan penjagaan anak, tekanan kerjaya, cabaran kesuburan serta pembahagian tanggungjawab rumahtangga yang lebih seimbang.
Bagi pasangan yang merancang untuk berkahwin atau mempunyai anak, kesediaan kewangan mungkin menjadi antara pertimbangan utama.
Namun, kehidupan berkeluarga turut menuntut persediaan dari segi masa, tenaga dan sokongan, khususnya apabila tanggungjawab menjaga anak dan menguruskan rumahtangga perlu diseimbangkan dengan kerjaya.
Persoalan inilah yang dibincangkan dalam acara ‘Jom BHerbual & Buat Biskut’ anjuran Berita Harian (BH) di Studio Kulinari Wisma Geylang Serai pada 25 Oktober.
Sesi yang menghimpunkan sekitar 20 peserta, kebanyakannya pasangan suami isteri, bersama Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, itu turut meninjau persepsi peserta mengenai cabaran kehidupan berkeluarga.
Tinjauan semasa sesi tersebut mendapati 58 peratus peserta merasakan semakin sukar bagi generasi muda mencapai kehidupan berkeluarga yang diidamkan.
Tambahan pula, 75 peratus berpendapat kaum ibu masih memikul beban mental yang lebih berat berbanding bapa.
Beban mental atau mental load merujuk kepada tanggungjawab kognitif untuk merancang, mengingati dan memastikan keperluan keluarga dipenuhi.
Ia bukan sekadar melakukan kerja rumah atau menjaga anak secara fizikal, tetapi turut melibatkan perkara yang sering tidak kelihatan, seperti mengingati jadual persekolahan dan janji temu doktor anak, merancang makanan keluarga serta memastikan bekalan keperluan rumah mencukupi.
Apabila tanggungjawab merancang dan memantau perkara-perkara ini lebih banyak dipikul oleh seorang pasangan, beban tersebut boleh meletihkan walaupun tugas fizikal kelihatan telah dibahagikan.
Bagi usahawan dan bapa kepada empat anak, Encik Khairul Anwar Ahmad Mahbob, 38 tahun, perkahwinan menuntut kaum bapa supaya lebih peka terhadap keperluan rumahtangga tanpa perlu menunggu arahan.
“Isteri saya bekerja keras setiap hari tanpa henti menguruskan rumahtangga walau apa pun berlaku. Melihat penat lelahnya itu membuatkan saya tersentak.
“Selepas saya berehat secukupnya, menjadi tanggungjawab saya untuk bangun dan lakukan apa sahaja yang perlu. Perkahwinan bukan usaha sebelah pihak, ia adalah perkongsian,” katanya kepada BH.
Namun, pembahagian tanggungjawab bukan sekadar soal meminta atau memberi bantuan. Ia memerlukan kedua-dua pihak memikul tanggungjawab bersama, termasuk mengenal pasti perkara yang perlu dilakukan tanpa meletakkan beban merancang dan mengingatkan pada seorang sahaja.
“Antara punca keretakan rumahtangga atau penceraian adalah apabila ada satu saat atau rasa tidak puas hati yang kita tidak tangani, lalu ia dibiarkan dan menjadi melarat. Komunikasi dua hala memerlukan komitmen kedua-dua pihak,” kata Cik Rahayu.
Selain pembahagian tanggungjawab di rumah, perancangan untuk mempunyai anak turut melibatkan pertimbangan kerjaya, kewangan dan kesuburan.
Sesetengah pasangan memilih untuk menangguhkan kehamilan sehingga kedudukan kewangan dan kerjaya lebih stabil, atau setelah mempunyai tempat tinggal sendiri.
Namun, apabila mereka bersedia untuk mendapatkan anak, faktor kesuburan boleh menimbulkan cabaran yang tidak dijangka.
Bagi pasangan yang memerlukan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF), kos rawatan juga boleh menjadi satu lagi halangan.
Cik Nur Aishah Rozali, 38 tahun, seorang eksekutif bersekutu perkhidmatan pesakit yang sedang berusaha untuk menjadi hamil, berkata kos rawatan IVF masih menjadi beban bagi ramai pasangan, khususnya apabila mereka dirujuk dari klinik subsidi ke pusat IVF sebagai pesakit swasta.
“Apabila kita dirujuk dari klinik subsidi ke pusat IVF, kita sebenarnya dicaj sebagai pesakit swasta dan perbelanjaan yang keluar dari kocek sendiri tetap tinggi.
“Jika ubat-ubatan dapat disubsidi, ia pasti menjadi dorongan yang sangat besar bagi pasangan berani mencuba,” katanya.
Cik Rahayu berkata pemerintah sedang meneliti keperluan rawatan IVF secara menyeluruh, dengan mengambil kira data kesihatan dan keberkesanan kos. Kemas kini mengenai perkara itu dijangka diumumkan pada awal tahun depan.
Beliau turut menekankan kepentingan memberi pasangan maklumat mengenai kesuburan lebih awal supaya mereka dapat membuat keputusan dengan pemahaman yang lebih baik.
“Lagi lama kita tunggu, lagi sukar dari segi biologi. Apa yang kita pelajari daripada pengalaman rakan-rakan yang telah melaluinya, kita cuba sampaikan.
“Kita mahu memberi informasi lebih awal supaya situasi ini dapat dielakkan, tetapi untuk menimang cahaya mata atau tidak, itu tetap hak mutlak masing-masing. Ia bukan sesuatu yang boleh dipaksa,” ujarnya.
Pada akhirnya, menjadikan kehidupan berkeluarga lebih mampan memerlukan usaha yang melangkaui bantuan kewangan dan dasar pemerintah.
Pasangan perlu membina perkongsian yang membolehkan tanggungjawab penjagaan dipikul bersama, sementara sokongan masyarakat dapat membantu meringankan tekanan yang dihadapi setiap keluarga.
Dengan adanya sokongan di rumah dan di luar rumah, membina keluarga tidak perlu menjadi tanggungjawab yang dipikul oleh pasangan secara bersendirian.