KELUARGA yang tinggal di flat terbakar di Blok 91 Henderson Road menzahirkan rasa sedih dan mengucapkan takziah kepada keluarga anggota bomba yang meninggal dunia semasa memadamkan kebakaran itu kelmarin.
Encik Muhammad Azri Ramlan, 21 tahun, yang berada dalam unit tersebut semasa nahas itu, berkata:
"Saya amat sedih apabila mengetahui tentang pemergiannya. Sebagai wakil keluarga saya, saya meminta maaf kepada keluarganya atas kehilangan mereka.
"Mereka mempunyai seorang anak yang baik - beliau seorang NSF (anggota perkhidmatan negara sepenuh masa) seperti saya - dan beliau telah mengorbankan nyawa untuk menyelamatkan orang lain," kata Encik Azri, lapor akhbar The Straits Times.
Menurut Encik Azri, seramai tujuh orang tinggal dalam flat tersebut, termasuk dirinya dan isterinya, Cik Sri Ayshah Putri Jamari, bayi mereka berusia tujuh bulan, adik-adik Cik Ayshah berusia 13 dan 16 tahun serta ibu bapa Cik Ayshah.
Apabila kebakaran itu berlaku, hanya Encik Azri, Cik Ayshah dan salah seorang adiknya di rumah.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata kelmarin, mereka telah diberitahu mengenai sebuah kebakaran pada sekitar 11.10 pagi kelmarin.
Apabila SCDF tiba di tempat kejadian, api sedang marak dan unit itu serta koridornya diselaputi asap tebal.
Pegawai SCDF menggunakan topeng pernafasan lalu masuk ke unit tersebut dengan dua jet air untuk melawan api.
Dalam usaha memadamkan api, seorang anggota NSF telah pengsan di kawasan dapur unit tersebut.
"Krewnya segera membawanya keluar dari unit dan memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepadanya.
"Kakitangan ambulans SCDF di tempat kejadian turut menggunakan defibrilator luaran automatik ke atasnya dan menghantarnya ke Hospital Besar Singapura. Beliau disahkan meninggal dunia di hospital," kata SCDF.
Siasatan kejadian itu masih dijalankan.
Tindakan berani NSF berusia 19 tahun yang terkorban nyawanya semasa menyelamatkan nyawa lain menerima curahan mesej takziah daripada rakyat Singapura daripada semua lapisan masyarakat.
Ini termasuk pemimpin politik dan orang yang tidak pernah bertemu dengannya.
Antaranya ialah Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang telah ucapkan takziah dan berkata:
"Kepada pegawai kami yang berani memastikan kami selamat dalam masa kecemasan, kata-kata tidak akan cukup untuk membayar hutang budi kami dengan sepenuhnya."
Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam; dan Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan) pula berkata:
"Pegawai Home Team bekerja keras tanpa mengenal penat dan berani setiap hari untuk memastikan kediaman dan rakyat Singapura selamat.
"Kami melakukan yang terbaik untuk melindungi pegawai kami, tetapi sifat kerja (ini) bermakna bahawa akan sentiasa ada risiko."
Selain itu, Encik Shihan Ahnaf Shoeb, yang telah menjadi sarjan NSF itu semasa salah satu latihannya, juga meluahkan kata-kata penghargaan.
Bercakap kepada Berita Harian, Encik Shihan berkata NSF itu seorang yang peramah, sering senyum dan tidak mudah putus asa.
"Beliau seorang pelajar yang bijak dan mempunyai masa depan yang cerah.
"Pendek kata, beliau seorang pegawai yang benar-benar berani dan beliau telah cuba lakukan sedaya upaya, sama seperti semasa latihan, namun badannya akhirnya tidak mampu lagi," kata pelajar 23 tahun itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg