KELUARGA berpendapatan rendah di bawah beberapa skim pemerintah secara automatik akan layak mendapat subsidi prasekolah maksimum, tanpa mengira status pekerjaan si ibu bermula bulan ini.
Skim tersebut merangkumi Skim Sewa Awam Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), atau Bantuan Jangka Pendek Hingga Pertengahan atau Bantuan Jangka Panjang ComCare.
“
Dalam satu catatan Facebook, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos, berkata ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan pemerintah untuk memberikan sokongan lebih komprehensif, mudah dan selaras kepada keluarga tersebut. Di bawah bantuan itu, mereka yang layak akan menerima subsidi penjagaan kanak-kanak sebanyak $767, tidak kira jenis pengendali dan sehingga $170 bagi khidmat tadika setengah hari yang dikendalikan oleh pengendali utama prasekolah atau 'anchor operators' (AOP), atau Kementerian Pendidikan (MOE). Menurut Encik Masagos, bagi kanak-kanak yang menghadiri prasekolah AOP atau tadika MOE, ibu bapa hanya perlu membayar yuran $3 setiap bulan bagi tajaka sepenuh hari, atau hanya $1 bagi tadika setengah hari. Keluarga-keluarga ini akan mendapat manfaat daripada tidak perlu menyerahkan dokumen sokongan untuk memenuhi syarat bagi mendapatkan subsidi prasekolah selain kepastian tentang tempoh sokongan, tambah Encik Masagos. "Tidak seperti sokongan yang disediakan sekarang menerusi Persetujuan Khas atau Bantuan Kewangan Penjagaan Anak, yang mungkin lebih pendek dari segi jangka masa, subsidi ini akan bertahan hingga tempoh penilaian seterusnya," kata beliau. Di samping itu, Latihan Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA) akan membantu keluarga yang akan mendaftarkan anak-anak mereka, memohon Geran Permulaan, dan mereka tidak perlu menyerahkan dokumen sokongan jika kriteria yang diperlukan dapat dipenuhi. "Saya berharap peningkatan ini dapat meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah dan memberi mereka lebih banyak kepastian mengenai jumlah subsidi prasekolah yang dapat mereka terima," ujar Encik Masagos lagi.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg