Mereka sekeluarga pernah menerima ejekan ‘syiok sendiri’ oleh teman dan warganet kerana dianggap kemaruk dengan permainan senapang mainan Nerf sebagai satu aktiviti kekeluargaan.
Namun, selepas mendapat perhatian menerusi media sosial, aktiviti unik ciptaan mereka itu kini semakin diterima orang umum hingga keluarga itu diundang menganjurkan kegiatan masyarakat dan baru-baru ini menganjurkan kegiatan bagi sekolah tempatan.
Malah, mereka kini mempunyai pendaftaran sebagai jurulatih sekolah rasmi.
Mereka menganjurkan latihan pererat hubungan berkumpulan, atau team-building bagi pelajar yang menyertai kegiatan ko-kurikular (CCA), Pasukan Kadet Kebangsaan (NCC), kata bapa keluarga itu, Encik Mohamad Munir Rohani, seorang mantan Master Sarjan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Menurut Encik Munir, 56 tahun, mereka telah menganjurkan kursus bagi sekurang-kurangnya dua sekolah menengah pada Oktober dan November 2023 dan satu lagi kursus pada Januari.
Kursus itu melibatkan pergerakan kombat secara teratur dan berdisiplin, dengan berpakaian uniform, lengkap dengan peralatan taktikal, sambil menembak papan sasaran dengan senapang peluru buih lembut atau ‘foam dart’.
Dalam melakukan itu, setiap ahli memainkan peranan agar pergerakan mereka dilakukan dengan tertib.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), salah seorang anak Encik Munir, Encik Ahmad Abdullah Munir, 20 tahun, berkata kerjasama bersama pihak NCC sekolah itu dirancang sejak April 2023.
Seorang guru sekolah itu telah berkunjung ke rumah mereka untuk meninjau bagaimana permainan itu dilakukan pada ketika itu, katanya.
Terdahulu BH pernah melaporkan bagaimana permainan itu diwujudkan Encik Munir, 56 tahun, di tengah-tengah pandemik pada 2021, sebagai satu permainan bagi pererat hubungan antara anak-anaknya.
Mereka sering melakukan aktiviti itu di lobi lif depan rumah mereka di Pasir Ris dan di Tampines Quarry setiap minggu.
“Pada awalnya cikgu itu meminta untuk menganjurkan permainan ‘perang-perang’ untuk muridnya. Tetapi kami berkata, itu bukan aktiviti yang kami lakukan,” kata Encik Ahmad yang kini sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS).
“Sebaliknya, aktiviti kami bertujuan memupuk nilai kerjasama dan mencabar daya pemikiran mereka supaya peserta dapat mengamalkan nilai-nilai tersebut dalam urusan harian mereka,” tambahnya.
Sebagai persiapan, keluarga itu telah mengubah corak permainan mereka agar ia lebih mudah difahami murid.
Mereka juga melatih diri untuk menawarkan bimbingan yang jelas kepada murid agar mereka memahami objektif kegiatan itu.
Keluarga itu juga menjalin hubungan dengan perniagaan lain seperti, Black Raisins, sebuah kedai dalam talian yang menjual beraneka alat taktikal dan senapang angin peluru buih sebagai pembekal.
Terdahulu Encik Ahmad berkata, keluarganya mempunyai rancangan menyebarkan permainan itu sebagai satu perniagaan yang menawarkan kursus pererat hubungan berkumpulan di tahap korporat, masyarakat dan sekolah.
Encik Ahmad berkata kerjasama dengan sekolah ini adalah satu langkah besar bagi mencapai impian itu.
“Namun kami tidak hanya menumpukan duit sahaja. Yang lebih penting adalah untuk terus memperbaiki program ini agar ia menjadi lebih baik,” katanya.
Padahal terdahulu keluarga itu pernah diejek teman dan warganet serta menerima laporan polis atas kegiatan mereka yang dianggap ‘mencurigakan.’
Namun ia berubah sejak mereka menyebarkan kegiatan itu di media sosial, sehinggakan pada Disember 2022, Anggota Parlimen (GRC Pasir Ris-Punggol), Encik Sharael Taha, mengundang keluarga itu bagi satu acara rangkaian penduduk kerana “kagum” terhadap aktiviti kekeluargaan itu.
Sejak itu juga mereka telah menganjur pelbagai kegiatan masyarakat lain pada termasuk satu pesta di Downtown East pada Oktober 2023.
“Sekarang kami rasa idea kami ini bukan setakat satu permainan sahaja tetapi satu aktiviti yang sebenarnya memberi banyak manfaat kepada orang lain,” ujar Encik Ahmad lagi.
Ingin tahu lebih tentang kegiatan menarik ini? Ikuti wartawan yang pernah menyertai aktiviti mereka dalam video ini:


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg