Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keluarga pincang buat diri matang dan disiplin

Pelbagai ujian peribadi turut melanda kumpulan pelajar ini
Dec 22, 2020 | 5:30 AM
BERDIRI TEGUH: Meskipun Gaizqa Niyaz Yusreite menghadapi pelbagai cabaran di rumah, ia bukan hambatan baginya mencapai kejayaan dengan menjadi kapten skuad ragbi sekolah dan menerima pelbagai anugerah serta mendapatkan tempat melanjutkan pelajaran dalam jurusan Kejuruteraan Tenaga dan Kawalan tidak lama nanti. - Foto BH oleh ONG WEE JIN
BERDIRI TEGUH: Meskipun Gaizqa Niyaz Yusreite menghadapi pelbagai cabaran di rumah, ia bukan hambatan baginya mencapai kejayaan dengan menjadi kapten skuad ragbi sekolah dan menerima pelbagai anugerah serta mendapatkan tempat melanjutkan pelajaran dalam jurusan Kejuruteraan Tenaga dan Kawalan tidak lama nanti. - Foto BH oleh ONG WEE JIN -

Menduduki peperiksaan nasional tahun ini memang amat mencabar di tengah-tengah pandemik Covid-19 yang mengubah kaedah pembelajaran. Selain itu, beberapa pelajar turut berdepan pelbagai cabaran tersendiri di peringkat individu. Wartawan BERITA HARIAN menyelami apa yang membuat anak-anak muda ini kekal berdaya tahan dalam menduduki GCE peringkat 'N' tahun ini.

CABARAN peribadi yang dialami Gaizqa Niyaz Yusreite telah membentuknya menjadi pelajar yang matang, bertanggungjawab dan cemerlang.

Ibu bapanya telah bercerai tujuh tahun lalu dan kehidupannya bersama seorang ibu tunggal yang harus bekerja dan menjaga tiga anak termasuk dua kakaknya yang mengalami cabaran kesihatan mental, ternyata bukan mudah baginya.

Namun sepanjang empat tahun di Sekolah Menengah Damai, pelajar aliran Normal Teknikal itu telah berjaya mencatatkan pelbagai pencapaian.

Ini termasuk menjadi kapten skuad ragbi sekolahnya sebanyak dua kali, memikul tanggungjawab sebagai kaunselor pelajar dan memenangi pelbagai anugerah.

Apa yang mendorongnya untuk terus berusaha ialah niatnya untuk membalas budi keluarganya sendiri.

"Saya lihat ibu saya bekerja keras untuk menjaga saya dan kakak-kakak saya dan saya teringin sekali untuk menjaga mereka dengan baik apabila tiba giliran saya nanti.

"Meskipun pelajaran saya hanya biasa-biasa sahaja, tetapi saya lebih menginginkan melanjutkan pendidikan dalam kursus kejuruteraan, dan kemudian mendapatkan pekerjaan yang mampu menampung kehidupan keluarga saya," kata anak bongsu itu.

Khamis lalu, Gaizqa, 16 tahun, telah menerima keputusan GCE peringkat 'N' yang baginya, amat memuaskan sekali.

Beliau telah memperolehi 1 mata bagi mata pelajaran Aplikasi Komputer serta Reka Bentuk dan Teknologi, kededua subjek yang amat digemarinya.

Gaizqa juga telah mendapat tempat untuk melanjutkan pelajarannya dalam kursus Kejuruteraan Tenaga dan Kawalan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej East menerusi Latihan Kemasukan Awal (EAE).

"Saya gembira sekali dengan keputusan saya... dan ini semua bagi mak," katanya.

Menyentuh tentang cabaran yang dihadapinya, Gaizqa berkata ibunya mahu beliau tinggal bersama datuk dan nenek - sebelah ibu - yang menetap di Pasir Ris agar dapat memberi tumpuan kepada pelajaran.

Manakala ibunya pula perlu menumpang rumah orang lain sambil menjalankan tugas bagi menampung kehidupan anaknya.

Kakak-kakaknya yang menghadapi cabaran penyakit mental pula sering dirawat di Institut Kesihatan Mental.

Di rumah datuk dan neneknya, Gaizqa berkongsi kediaman dengan empat yang lain. Ia termasuk mak cik dan pak cik berserta anak lelaki mereka yang berusia dua tahun dan seorang lagi ibu saudara.

"Di rumah datuk dan nenek, saya dididik untuk berdisiplin dan saya juga perlu menjaga saudara saya, yang masih lagi kecil."

Oleh itu, Gaizqa perlu mengorbankan masa rehat dan bijak membahagikan masa untuk belajar dan menguruskan rumah.

Menurut guru kelasnya, Encik Muhammad Fazly Abdul Rahman, 33 tahun, latar belakang Gaizqa itu telah membentuknya menjadi seorang individu yang matang dan berdisiplin.

"Beliau seorang pemimpin yang berdiri teguh dengan prinsipnya yang mengutamakan keluarga dan tidak mudah terpengaruh dengan unsur-unsur negatif.

"Di dalam kelas, beliau telah berkhidmat sebagai pengerusi kelas dan semua ahli kelasnya menghormatinya sebagai pemimpin, meskipun ada yang nakal dan tidak mudah mendengar arahan."

Sifatnya yang sedemikian juga telah membolehkan Gaizqa dicalonkan oleh ahli kelasnya, dan kemudian dinobat sebagai penerima Anugerah Perwatakan Edusave antara pencapaian lain.

"Saya lihat ibu saya bekerja keras untuk menjaga saya dan kakak-kakak saya dan saya teringin sekali untuk menjaga mereka dengan baik apabila tiba giliran saya nanti. Meskipun pelajaran saya hanya biasa-biasa sahaja, tetapi saya lebih menginginkan melanjutkan pendidikan dalam kursus kejuruteraan, dan kemudian mendapatkan pekerjaan yang mampu menampung kehidupan keluarga saya" - Gaizqa Niyaz Yusreite, 16 tahun, berjaya memasuki kursus Kejuruteraan Tenaga dan Kawalan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej East menerusi Latihan Kemasukan Awal (EAE).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg