TANAM 'pokok perpaduan' untuk mengukuhkan silaturahim antara keluarga yang 'buahnya' dapat dinikmati semua.
Itulah tujuan utama pertemuan keluarga besar empat generasi Allahyarhamha Hajah Saadah Rayee yang dihadiri sekitar 130 anggota keluarga sempena Tahun Baru di Masjid Petempatan Melayu Sembawang kelmarin.
Dengan izin pihak lembaga pentadbir masjid, mereka menanam beberapa batang pokok buah-buahan di pekarangan masjid itu, yang diserikan dengan kehadiran Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, juga yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon.
"Acara ini kami berikan tema 'Lebur Mon A Polong-Polong' dalam bahasa Bawean yang bermaksud 'Bagus Jika Dapat Berkumpul-Kumpul'.
"Itulah matlamat utama kami iaitu berkumpul untuk merapatkan silaturahim antara keluarga besar empat generasi ini sambil menanam pokok buah-buahan bagi menyuburkan semangat perpaduan antara keluarga, yang hasilnya dapat memberi manfaat kepada semua, khususnya jemaah Masjid Petempatan Melayu Sembawang," kata Encik Abdolah Lamat, 'pak lurah' baru keluarga itu.
Menurut beliau, mereka memilih masjid itu kerana "sebilangan besar keluarga asal kami" dilahirkan di sekitar kawasan masjid tersebut, yang dulunya kampung Melayu.
"Kawasan penanaman pokok buah-buahan ini dinamakan Kebun Warisan sebagai tanda memperingati kehadiran keluarga kami di kawasan ini," ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg