
SEORANG lelaki didakwa memandu bas secara cuai di Pusat Pertukaran Bas Bukit Batok apabila ia melanggar sebuah bas lain, menyebabkan 14 orang cedera.
Kejadian itu menyebabkan bas yang satu lagi terbalik ke sisi berikutan perlanggaran sekitar 5 petang pada 11 Julai tahun lalu.
Penduduk tetap Singapura Loo Eng Chai, 66 tahun, didakwa di mahkamah semalam dengan satu tuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada enam orang dengan memandu secara cuai.
Mereka termasuk pemandu bas yang satu lagi, Encik Mohammed Salleh Mian, 65 tahun, dan pejalan kaki Encik Alias Mokson, 57 tahun.
Empat orang lain, yang berumur antara 32 dengan 68 tahun pada waktu itu, adalah penumpang dalam bas Encik Salleh.
Semalam, Loo juga didakwa menyebabkan kecederaan kepada lapan orang lain - kesemuanya penumpang dalam bas Encik Salleh dan berusia antara 10 dengan 70 tahun - dengan memandu secara cuai.
Butiran mengenai kecederaan 14 orang itu tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah.
Tiada penumpang berada dalam bas Loo.
Ketika kejadian itu berlaku, kedua-dua Loo dan Encik Salleh adalah pemandu bagi penyedia khidmat bas Tower Transit.
Encik Alias, sebaliknya, adalah pemandu dengan pengendali pengangkutan SBS Transit.
Menurut dokumen mahkamah, Loo sedang memandu bas apabila dia dikatakan gagal memberi laluan semasa membelok ke kanan di pusat pertukaran bas itu, melanggar bahagian kanan bas Encik Salleh sedang ia bergerak dari kiri ke kanan Loo.
Menurut The Straits Times, Tower Transit berkata Loo telah dipecat.
Kes itu telah ditangguhkan ke 4 Mac.
Bagi kesalahan menyebabkan kecederaan parah dengan memandu secara cuai, pesalah boleh dipenjara hingga dua tahun dan didenda hingga $5,000.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg