TIGA orang yang ditahan setelah menyebabkan kematian seorang penunggang penghantaran dalam kemalangan kereta pada 27 September kini disiasat kerana didakwa memberikan maklumat palsu kepada polis.
Seorang daripada mereka yang berusia 35 tahun dipercayai pemandu kereta terbabit dalam kemalangan yang berlaku di Choa Chu Kang itu.
Akhbar The Straits Times difahamkan bahawa ketiga-tiga mereka menafikan mereka merupakan pemandu kereta tersebut ketika disoal siasat polis selepas kemalangan itu.
Kenyataan mereka kepada polis juga bercanggah antara satu sama lain.
Ketiga-tiga mereka kini membantu siasatan atas kesalahan memberi maklumat yang diketahui palsu kepada pegawai awam dan atas kesalahan sengaja menghalang usaha bagi mencari keadilan, kata polis.
Khamis lalu, polis berkata seorang wanita dan dua lelaki yang berusia antara 32 dengan 35 tahun ditahan kerana memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian serta memandu dalam keadaan mabuk.
Kemalangan yang melibatkan sebuah kereta dan basikal elektrik (e-basikal) itu berlaku berhampiran Blok 130 Choa Chu Kang Avenue 1 pada kira-kira jam 11.20 malam.
Penunggang penghantaran yang berusia 28 tahun itu kelihatan terbaring kaku di atas jalan dalam satu video yang dimuat naik di Facebook minggu lalu.
Beliau tidak menyedarkan diri ketika dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong dan kemudiannya meninggal dunia, kata pihak berkuasa.
Mereka yang memberi maklumat yang diketahui palsu kepada pegawai awam boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg