Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kematian anak dek Covid-19 sedarkan ayah untuk ‘berkorban’

Sanggup tukar kerja lebih jauh dari rumah agar dapat luang lebih banyak masa bersama keluarga
Jun 17, 2024 | 6:42 PM
Allahyarhamha Raisya Ufairah Mohammed Ashraff menyambut ulang tahun keempat pada 16 Mac 2022 dengan diapit ibu bapanya, Encik Mohammed Ashraff Hussin, Cik Mardalina Mohamed Nossi, dan abang kembarnya, Qayyim Fazhan (kiri) dan Qayyim Iylhan. Allahyarhamha Raisya Ufairah meninggal dunia dek Covid-19 pada 17 Julai 2022.
Allahyarhamha Raisya Ufairah Mohammed Ashraff menyambut ulang tahun keempat pada 16 Mac 2022 dengan diapit ibu bapanya, Encik Mohammed Ashraff Hussin, Cik Mardalina Mohamed Nossi, dan abang kembarnya, Qayyim Fazhan (kiri) dan Qayyim Iylhan. Allahyarhamha Raisya Ufairah meninggal dunia dek Covid-19 pada 17 Julai 2022. - Foto ihsan MARDALINA MOHAMED NOSSI 

Ketika anaknya, Raisya Ufairah Mohammed Ashraff, mengalami komplikasi akibat Covid-19 pada 2022, Encik Mohammed Ashraff Hussin, tiada di rumah kerana baru sahaja keluar bekerja.

Beliau hanya dapat melihat Raisya Ufairah semasa anaknya yang berumur empat tahun itu berjuang di hospital sebelum meninggal dunia.

Detik itu menyedarkan Encik Mohammed Ashraff, 41 tahun, tentang pentingnya masa bersama keluarga.

Baru-baru ini, beliau mengambil langkah ‘mengorbankan’ pekerjaannya sebagai ejen khidmat pelanggan di Lapangan Terbang Changi, yang lebih dekat dengan rumahnya di Tampines, kerana tugas itu melibatkan syif dan waktu kerjanya tidak tetap.

Sebaliknya, beliau memilih menjadi penolong pengurus di sebuah stesen SMRT, walaupun tempat tugasnya lebih jauh – di kawasan Bugis – kerana waktu kerjanya tetap.

Masa tetap itu membolehkan beliau menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga, termasuk pada waktu malam.

Pekerjaan lamanya menyebabkan Encik Mohammed Ashraff kurang bersama mereka. Selain Allahyarhamha Raisya, beliau mempunyai anak kembar – Qayyim Fazhan Mohammed Ashraff dan Qayyim Iylhan Mohammed Ashraff – kini 13 tahun.

“Saya terlepas mencipta kenangan manis bersama mereka. Jika ada pun mungkin sekali seminggu pada hari cuti saya.  

“Apabila mereka pulang dari sekolah, saya telah keluar bekerja. Apabila saya pulang, mereka sudah tidur.

“Saya agak terkilan kerana tidak dapat meluangkan masa sepenuhnya bersama mereka,” kata Encik Mohammed Ashraff.

Sejak pemergian Allahyarhamha, Encik Mohammed Ashraff, cuba mengisi kekosongan yang ditinggalkannya dengan menyibukkan dirinya dengan kegiatan yang membawa kepada kebahagiaan dan ketenangan diri, seperti berbasikal dan keluar bersama keluarga.

Pemergian Allahyarhamha adalah sesuatu yang memeranjatkan keluarganya.

Anak bongsu itu disahkan positif Covid-19 pada 17 Julai 2022 dan adalah kanak-kanak kedua di bawah umur 12 tahun di Singapura yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Pada malam 17 Julai 2022, dia mula muntah-muntah dan mulutnya berbuih ketika hendak diberi ubat oleh ibunya, Cik Mardalina Mohamed Nossi, 41 tahun, seorang pendidik.

Dia terus dibawa ke klinik sebelum dikejarkan ke hospital, namun meninggal dunia dua jam kemudian pada hari itu.

Pada malam itu, Encik Mohammed Ashraff baru sahaja keluar bekerja meninggalkan isteri dan anak-anaknya di rumah.

Setengah jam kemudian, beliau mendapat berita mengenai keadaan Raisya Ufairah dan terus bergegas ke hospital.

Semasa tiba di Jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E), beliau mendapat tahu doktor cuba menyelamatkan anaknya tetapi tidak berjaya.

Sejak itu, Encik Mohammed Ashraff, bertekad mencari pekerjaan lain supaya dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga dan menemani isteri dan anak-anaknya.

Pengorbanan menukar kerja ke kawasan lebih jauh memberi Encik Mohammed Ashraff kesempatan meluangkan lebih banyak masa bersama kededua anak kembarnya.

Ini termasuk menghadiri sesi bertemu guru sekolah mereka dan mengambil mereka pulang daripada kegiatan kokurikulum.

Hasratnya menukar kerja menjadi lebih kuat kerana isterinya menghadapi masalah sukar tidur pada waktu malam selepas pemergian Raisya Ufairah kerana Allahyarhamha biasanya tidur bersamanya sejak lahir.

Mengimbas kembali tentang anaknya, Encik Mohammed Ashraff berkata Allahyarhamha seorang anak yang mudah dijaga sejak bayi, ceria dan gemar menolong anggota keluarga di rumah.

Menurut Encik Mohammed Ashraff, Allahyarhamha sering bersarapan dengannya setiap pagi dan kadangkala berjaga hingga 1 pagi menunggunya pulang hanya untuk menyapa beliau.

Pemergiannya membuat Encik Mohammed Ashraff berasa kekosongan.

Namun, beliau berusaha mengatasi kekosongan itu dengan melakukan perkara yang membahagiakan dan menenangkan fikirannya, seperti meluangkan masa bersama keluarga.

Mereka sekeluarga menziarahi pusara Allahyarhamha dua kali seminggu.

Pada awalnya, keluarga itu merancang menunaikan umrah bersama Allahyarhamha sebelum Covid-19, namun tidak kesampaian.

Bagaimanapun, mereka tetap menunaikan umrah pada Disember 2023.

Walaupun tidak dapat menunaikan umrah bersama Allahyarhamha, Cik Mardalina bersyukur kerana segala urusan mereka dipermudahkan.

Beliau juga bersyukur berpeluang menziarahi kubur anaknya di Singapura berbanding jika Allahyarhamha ditakdirkan meninggal dunia di luar negara.

“Meskipun perasaan rindu itu masih ada dan tidak dapat berjumpa dengan Raisya secara fizikal, kami bersyukur masih tetap boleh menziarahinya di pusara,” kata Cik Mardalina.

Encik Mohammed Ashraff pula menenangkan dirinya dengan memperbanyakkan doa dan reda dengan takdir dan ketentuan Allah.

Beliau percaya itu adalah yang terbaik untuknya walaupun pahit untuk beliau sekeluarga hadapi.

“Sudah tentu kehilangan anak atau orang yang kita sayangi adalah satu fasa yang amat perit dan berat, namun yakin bahawa suatu hari kita pasti akan disatukan kembali.

“Teruskan berdoa untuk mereka yang telah pergi meninggalkan kita, dan ziarahi pusara mereka sekerap mungkin sehingga dapat rasakan ketenangan,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg