Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kematian lelaki dihempap kontena di Pioneer membawa pada 30 kes kematian tempat kerja dilaporkan pada 2021: Melvin Yong

Oct 3, 2021 | 7:43 PM
KES TERKINI: Seorang lelaki Singapura mati kerana dihempap kontena di tapak binaan Pioneer pada Jumaat (1 Oktober). - Foto STOMP
KES TERKINI: Seorang lelaki Singapura mati kerana dihempap kontena di tapak binaan Pioneer pada Jumaat (1 Oktober). - Foto STOMP -

JUMLAH kes kematian di tempat kerja tahun ini adalah 30 selepas seorang lelaki Singapura mati kerana dihempap kontena di tapak binaan Pioneer pada Jumaat (1 Oktober).

Anggota Parlimen Radin Mas, Encik Melvin Yong, dalam satu pos Facebook pada Ahad (3 Oktober) berkata, jumlahnya sama dengan bilangan kematian tempat kerja yang dilaporkan pada 2020.

Encik Yong, yang juga penolong setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), berkata: "Ini adalah peristiwa penting yang muram serta tidak ada daripada kita mahu sampai ke peringkat ini lagi."

Beliau menambah sembilan kematian dalam industri binaan serta lapan kematian dalam sektor logistik dan pengangkutan membentuk lebih separuh daripada kes kematian tempat kerja yang dilaporkan tahun ini.

Kehilangan nyawa dalam kemalangan tempat kerja, tambahnya, bukan setakat perangkaan semata.

"Pekerja ini meninggalkan orang tersayang, mereka yang perlu disara serta pelbagai soalan untuk dijawab," tambahnya.

Encik Yong berkata, kematian tempat kerja terkini berlaku sedang siasatan terhadap kes letupan di Stars Engrg di Tuas pada 24 Februari diteruskan. Dalam kejadian itu, tiga orang meninggal manakala tujuh yang lain pula cedera.

Jawatankuasa Siasatan, yang dipengerusikan Hakim Daerah Kanan Ong Hian Sun, dilantik pada 2 Mac bagi meninjau sebab letupan dan kebakaran yang meragut nyawa itu berlaku. Kemalangan itu melibatkan mesin pengadun yang digunakan oleh syarikat perlindungan api itu untuk menghasilkan bahan seperti tanah liat bagi produknya.

Dalam masa dua minggu pada September, sejumlah 15 orang tampil memberi keterangan termasuk tujuh pekerja yang cedera tetapi terus bertahan.

Sejauh ini, soalan dalam siasatan fokus pada siri amaran bahaya bermula berbulan lamanya sebelum letupan berlaku termasuk pengeluaran asap, kebocoran dan kebakaran melibatkan mesin pengadun itu.

Kata Encik Yong: "Siasatan yang berlanjutan ini menimbulkan perihal amalan membimbangkan seperti mengabaikan amaran bahaya dan penggunaan mesin yang tidak betul."

Encik Yong berharap menerusi penemuan jawatankuasa siasatan tentang letupan yang berlaku, syarikat lain akan belajar untuk mengambil tanda amaran bahaya lebih serius lagi.

Beliau juga berharap syarikat di sini akan mengambil tindakan yang wajar dalam menghurai masalah sebelum amaran bahaya ini membawa pada kemalangan melibatkan kecederaan serius atau kehilangan nyawa.

Encik Yong menggesa firma dalam industri binaan serta golongan dalam sektor logistik dan pengangkutan akan belajar daripada kemalangan terkini ini, berhenti dan menilai semula risikonya serta dengan segera mengenalkan langkah di tapak kerja bagi mengisi sebarang lowongan dalam keselamatan.

Katanya: "NTUC Singapore akan bekerjasama dengan kesatuan berkaitan yang relevan bagi mengeluarkan lebih banyak peringatan dan nasihat kepada pekerja bagi mempertingkat kewaspadaan di tapak kerja dan membantu menjaga keselamatan dan kesejahteraan satu sama lain.

"Kita boleh dan harus lakukan lebih lagi bagi menghentikan peningkatan kes kematian di tempat kerja yang mengejutkan ini kerana setiap pekerja itu penting dan setiap nyawa itu bererti."

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg