DUA pekerja penyedia perkhidmatan penjagaan warga emas didakwa cuai sehingga menyebabkan kematian seorang pengguna kerusi roda pada Februari tahun lalu.
Moe Thadar, 47 tahun, dan Kwa Kim Seng, 65 tahun, dari Active Global masing-masing dihadapkan dengan satu tuduhan melakukan perbuatan cuai tetapi tidak sampai menyebabkan kesalahan homisid semalam.
Mereka didakwa gagal memastikan brek kerusi roda Encik Hassan Mohamed Karchi Arsan Osman dimasukkan hingga menyebabkan kematiannya.
Kwa, seorang warga Singapura, juga dikatakan gagal memegang kerusi roda itu dengan betul.
Dokumen mahkamah tidak mendedahkan butiran mengenai Encik Hassan dan keadaan yang membawa kepada kematiannya.
Tetapi mahkamah diberitahu bahawa pasangan itu masih bekerja untuk firma tersebut.
Kwa adalah pemandu kenderaan ketika didakwa melakukan kesalahan manakala Moe Thadar, warga Myanmar, seorang pekerja penjagaan kesihatan.
Moe Thadar diwakili peguam Encik K. Prasad, manakala peguam Kwa, Encik Vinit Chhabra.
Pihak pembelaan memberitahu Hakim Daerah, Cik Lorraine Ho, bahawa mereka ingin melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu serta laporan ahli patologi forensik mengenai kematian Encik Hassan.
Kwa dan Moe Thadar masing-masing ditawarkan ikat jamin $15,000.
Kes mereka telah ditangguhkan hingga 23 Mei nanti.
Bagi menyebabkan kematian dengan melakukan perbuatan cuai, pesalah boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg