Selepas empat tahun tidak bekerja kerana menjaga kededua anaknya sepenuh masa, Cik Nur Asyura Senin,. 26 tahun, mengambil keputusan bekerja semula.
Menariknya, Cik Asyura, seorang lulusan diploma kejuruteraan sivil dan pernah bekerja sebagai pembantu pentadbiran di sebuah syarikat binaan, bertukar kerjaya ke bidang penjagaan kesihatan, khususnya dalam bidang pergigian.
Ini membantu menambah pendapatan keluarganya. Suaminya, Encik Muhammad Dhiyourrahman Megat Fauzi, 30 tahun, seorang teknisyen.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyebut tentang Cik Asyura dalam ucapan bahasa Melayu beliau di Rapat Hari Kebangsaan 2023 pada Ahad.
Ditanya mengenai cabaran beliau kembali bekerja, ibu anak lelaki berusia satu setengah tahun dan anak perempuan berusia empat tahun itu berkata:
“Anak-anak saya masih kecil. Saya tidak sampai hati juga untuk tinggalkan mereka untuk saya bekerja.
“Selain itu, satu lagi cabaran yang perlu saya tempuhi ialah menukar ke bidang yang berlainan.
“Saya mahu meneroka pekerjaan, pengalaman dan perkara baru. Saya juga mahukan kerjaya jangka panjang yang lebih baik.”
Cik Asyura berkata beliau meminati bidang pergigian sejak kecil.
Pada 2022, Cik Asyura menyertai program Wanita di Tempat Kerja (W@W) kendalian Yayasan Mendaki.
Penasihat kerjaya program itu melakar pelan tindakan kerjaya baginya dan menyarankan kursus yang sesuai untuk beliau.
“Dalam program itu mereka mengajar cara membuat resume dengan betul, dan kepakaran yang diperlukan,” ujarnya.
Cik Asyura juga menggunakan Kredit SkillsFuture untuk mendapatkan Sijil Asas bagi Sokongan Pergigian.
Semasa menjalani latihan, beliau mendapat pekerjaan sepenuh masa sebagai pembantu pembedahan pergigian di sebuah klinik.
“Jangan rasa takut. Program Wanita di Tempat Kerja (W@W) ialah program yang bermanfaat dan berguna untuk wanita di luar sana. Anda harus berani menghadapi pekerjaan yang ditawarkan pada masa ini,” ujarnya lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg