SPH Logo mobile
Langgan|

Kemeriahan Tahun Baru Cina dikongsi bersama

Kemeriahan Tahun Baru Cina dikongsi bersama

Tahun harimau dalam kalendar Cina bermula hari ini, dan permulaan baru itu mempunyai pelbagai makna berbeza bagi ramai orang. Bagi segelintir dalam masyarakat Melayu, sambutan itu membuka peluang untuk mengenali budaya orang Cina dan memahami adat serta tradisi mereka. Mereka yang lahir dalam tahun harimau pula seronok mendapat tahu haiwan tahun kelahiran mereka kembali tahun ini. BERITA HARIAN melaporkan erti Tahun Baru Cina dan tahun harimau bagi dua anak Melayu dalam laporan berikut.
Feb 1, 2022 | 5:30 AM

Kemeriahan Tahun Baru Cina dikongsi bersama

DAPAT GELARAN WANITA HARIMAU: Cik Farhanah Abdul Rahman (kiri) bersama temannya dalam suasana menyambut Tahun Baru Cina. Oleh kerana dilahirkan pada Tahun Harimau menurut kalendar Cina, beliau dikatakan mengongsi sifat bengis seperti harimau. - Foto ihsan FARHANA ABDUL RAHMAN
DAPAT GELARAN WANITA HARIMAU: Cik Farhanah Abdul Rahman (kiri) bersama temannya dalam suasana menyambut Tahun Baru Cina. Oleh kerana dilahirkan pada Tahun Harimau menurut kalendar Cina, beliau dikatakan mengongsi sifat bengis seperti harimau. - Foto ihsan FARHANA ABDUL RAHMAN -

TAHUN Baru Cina ini adalah acara yang meriah bagi Cik Farhanah Abdul Rahman walaupun beliau tidak meraikannya.

Ini kerana rakan-rakan sekerjanya yang berbangsa Cina sering menggelarnya 'wanita harimau' kerana beliau mengongsi sifat haiwan bengis itu. Usikan itu lebih menjadi-jadi sejak kebelakangan ini menjelang tahun harimau yang bermula hari ini, menurut kalendar Cina.

Guru tajaka berusia 36 tahun itu berkata beliau disebut sebagai harimau di dalam bilik darjah kerana perwatakannya yang garang.

"Saya dibesarkan dalam keluarga yang garang, jadi saya memang sudah terbiasa dengan cara begitu. Semasa di bangku sekolah dahulu, saya memang seorang yang panas baran, tetapi semakin meningkat dewasa, saya dapat kawal perasaan saya.

"Tetapi, saya masih seorang yang tegas walaupun saya suka dan sayang anak-anak murid saya, dan disebabkan itu, guru-guru lain menggelar saya harimau di dalam kelas," katanya.

Menurut Cik Farhanah, beliau tahu bahawa beliau lahir dalam tahun harimau dan sedar ada beberapa perwatakannya yang serupa dengan yang sifat yang dikatakan sering dilihat pada orang yang lahir dalam tahun tersebut.

Orang yang dilahirkan dalam tahun 1962, 1974, 1986, 1998, 2010 dan 2022 dikatakan adalah bayi harimau.

Mereka disifatkan sebagai kuat, kasar, terburu-buru dan yakin dengan diri sendiri.

Mereka dikatakan berupaya menimbulkan ketakutan di hati musuh dan keyakinan di hati sekutu.

Lelaki dan wanita harimau juga dikatakan cepat marah dan mempunyai 'angin' yang sering berubah-ubah.

Cik Farhanah berkata beliau dapati juga ada beberapa sifat lain pada dirinya yang bertepatan dengan yang disebutkan bagi orang yang lahir dalam tahun harimau seperti yakin dengan diri sendiri, terutama dalam mengendalikan perniagaan sambilannya.

"Baru-baru ini saya buka perniagaan kecil-kecilan menjual biskut dan snek bersama rakan kerja saya di tajaka ini.

"Kami jual biskut yang sesuai dinikmati semasa musim perayaan Tahun Baru Cina. Saya rasa ini menunjukkan bahasa saya seorang yang berani dan yakin untuk mencuba sesuatu yang baru," katanya.

Cik Farhanah juga mengongsi bahawa beliau merupakan 'guru harimau' yang digandingkan dengan seorang guru dan seorang penolong guru yang lahir dalam tahun babi, dan mereka bertiga mengajar kelas untuk kanak-kanak yang lahir dalam tahun babi juga.

"Saya dapati ini satu kebetulan yang menarik dan mungkin ia membantu anak murid saya mendengar arahan saya dengan lebih baik, dan memberi saya keyakinan untuk mengendalikan kelas sendirian sekiranya rakan kerja saya tidak ada," katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg